Skip to main content

Dunia

Demokrat Senat AS paksa undian kelapan resolusi had kuasa perang

FILE PHOTO: The U.S. Capitol building, on day three of a partial government shutdown, in Washington, D.C., U.S., February 2, 2026. REUTERS/Al Drago/File Photo
Ini merupakan kali kelapan Demokrat membawa resolusi tersebut untuk dibahaskan dan diundi di Dewan Senat. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Parti Demokrat di Senat Amerika Syarikat (AS) akan memaksa satu lagi undian berhubung Resolusi Kuasa Perang minggu ini dalam usaha mengehadkan kuasa Presiden Donald Trump untuk melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran.

Ketua Minoriti Senat, Chuck Schumer, berkata ini merupakan kali kelapan Demokrat membawa resolusi tersebut untuk dibahaskan dan diundi di Dewan Senat.

“Pada minggu ini, untuk kali KELAPAN, Demokrat Senat akan memaksa undian terhadap Resolusi Kuasa Perang kami untuk mengundurkan tentera daripada konflik dengan Iran,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Schumer turut menggesa Senator Republikan supaya menyokong resolusi berkenaan, yang menurutnya bertujuan menamatkan konflik dan melindungi anggota tentera AS daripada risiko peperangan.

Beliau menegaskan bahawa resolusi itu akan “menamatkan perang” serta memastikan tentera AS tidak terus terdedah kepada bahaya di luar negara.

 

 

Resolusi Kuasa Perang digunakan sebagai mekanisme untuk mengehadkan kuasa presiden dalam melibatkan negara dalam konflik ketenteraan tanpa kelulusan Kongres.

Menurut Perlembagaan AS, kuasa untuk mengisytiharkan perang terletak di tangan Kongres, bukannya presiden.

Bagaimanapun, sejak beberapa dekad lalu, presiden AS sering menggunakan kuasa sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera untuk melancarkan operasi ketenteraan tanpa pengisytiharan perang rasmi.

Langkah Demokrat itu berlaku dalam suasana ketegangan berterusan antara AS dan Iran, yang mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan konflik lebih besar di rantau Asia Barat.

Resolusi tersebut dilihat sebagai usaha politik untuk mengekang kuasa pentadbiran Trump, selain mencerminkan perbezaan pandangan dalam kalangan ahli politik AS mengenai penglibatan ketenteraan negara itu di luar negara.

Jika diluluskan, resolusi itu akan mewajibkan pentadbiran menarik balik tentera AS daripada sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran tanpa kelulusan Kongres.
 

 

Must Watch Video