DUNIA
Pertempuran di Gaza paksa lebih ramai penduduk berpindah - OCHA

Sejak pertengahan Ogos, lebih 190,000 pergerakan seumpama itu direkodkan, menurut pejabat PBB itu. - Foto Reuters
GENEVA: Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) pada Selasa memaklumkan penduduk Gaza terus meninggalkan kediaman mereka susulan ketegangan yang semakin memuncak serta arahan pemindahan tentera Israel, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Lebih 48,000 penduduk Gaza berpindah ke selatan antara Ahad dan Isnin susulan arahan pemindahan oleh tentera Israel dan serangan berterusan di Bandar Gaza.
- Hospital dan pusat perubatan di Gaza kini kritikal, dengan hanya tiga daripada enam pusat UNRWA masih beroperasi, manakala bank darah dan makmal berisiko ditutup akibat kekurangan bekalan.
- Misi bantuan kemanusiaan terus berdepan cabaran besar, termasuk isu keselamatan, kesesakan dan rompakan, menyebabkan konvoi bantuan gagal sampai kepada penduduk yang paling memerlukan.
Dalam tempoh 24 jam lalu, artileri dan serangan udara Israel terus menyasarkan Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya.
Tentera Israel sekali lagi mengisytiharkan Bandar Gaza sebagai "zon pertempuran berbahaya" dan mengulangi arahan supaya penduduk berpindah ke selatan Wadi Gaza.
OCHA turut memberi amaran bahawa bank darah dan makmal di Gaza kini kehabisan bekalan penting dan berisiko ditutup dalam tempoh beberapa hari.
Hospital dan klinik juga kekal berada di bawah tekanan hebat.
Hanya tiga daripada enam pusat perubatan yang dikendalikan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Bandar Gaza masih beroperasi.
Misi bantuan kemanusiaan yang melibatkan bekalan bahan api dan perkhidmatan perubatan turut dibatalkan berikutan isu keselamatan, kesesakan lalu lintas serta kejadian rompakan.
Konvoi bantuan terus berdepan kelewatan dan risiko di sepanjang perjalanan, menyebabkan ia gagal sampai kepada penduduk yang paling memerlukan.
Menurut OCHA, PBB bersama rakan kemanusiaannya akan terus menyalurkan bantuan dan perkhidmatan penting di Semenanjung Gaza.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami