NEW DELHI: Sebuah badan Islam terkemuka di India meminta cendekiawan Islam memboikot saluran berita televisyen yang provokatif ketika peranan media India menjadi perhatian berhubung ketegangan agama di negara itu.

Saluran televisyen India dilihat gemar mengundang tokoh kontroversi untuk muncul dalam rancangan mereka menyaksikan anggota panel saling berbalah dan bertengkar antara satu sama lain.

Seorang jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah, kini digantung tugas kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW dalam rancangan debat di televisyen baru-baru ini, yang mencetuskan kemarahan di India dan di seluruh dunia Islam.

Menurut Lembaga Undang-undang Peribadi Muslim Seluruh India (AIMPLB) debat televisyen sedemikian diadakan dengan "niat untuk menghina Islam dan umat Islam."

Kenyataannya meminta cendekiawan Islam untuk tidak mengambil bahagian dalam debat televisyen dibuat di tengah-tengah tuduhan yang semakin meningkat mengenai sikap berat sebelah media terhadap komuniti itu.

"Tujuan program itu bukanlah untuk mencapai sebarang kesimpulan melalui perbincangan yang membina tetapi untuk mempersenda dan mencemarkan agama Islam dan umat Islam.

"Bagi menunjukkan sedikit ketelusan, saluran televisyen itu memerlukan muka umat Islam dalam perbahasan mereka. Disebabkan kealpaan mereka, cendekiawan dan ulama Islam kita menjadi mangsa agenda sedemikian," menurut badan Islam yang berpengaruh itu.

Syarikat media besar India kebanyakannya dimiliki taikun yang dilihat rapat dengan nasionalis Hindu.

Persatuan Pengarang India, yang mewakili akhbar negara itu, dalam satu kenyataan pada Rabu, mengkritik "kelakuan tidak bertanggungjawab beberapa saluran berita nasional kerana sengaja mencipta keadaan yang menyasarkan masyarakat rentan dengan mencetuskan kebencian terhadap mereka dan kepercayaan mereka."

Merujuk kepada India yang sedang berdepan kemarahan dunia Islam berhubung Islamofobia dan kenyataan fitnah baru-baru ini oleh dua pemimpin BJP, menurut badan media itu "keaiban sedemikian" boleh dielak jika saluran televisyen mematuhi peraturan dan bukan "didorong oleh kerakusan untuk memperoleh keuntungan dan meningkatkan tontonan."

Badan Islam itu juga berhujah bahawa pemulauan umat Islam terhadap debat televisyen akan menjejaskan usaha media untuk mempromosi konflik perkauman.

"Jika kita memboikot program dan saluran sedemikian, bukan sahaja ia akan menjejaskan rating mereka tetapi mereka juga akan gagal dalam mencapai hasil yang dimahukan melalui perbahasan itu," menurut AIMPLB.

-- BERNAMA