Skip to main content

Dunia

Pesawat F-16 pintas pesawat ceroboh ruang udara larangan berhampiran Camp David

Sumber: REUTERS
Sebuah pesawat pejuang F-16 NORAD memintas sebuah pesawat penerbangan awam yang memasuki ruang udara larangan di Thurmont, negeri Maryland, Amerika Syarikat pada pagi Sabtu ketika Presiden Donald Trump berada di Camp David yang terletak berhampiran. - Gambar hiasan/ Reuters
Advertisement

ISTANBUL: Sebuah pesawat pejuang F-16 Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD) memintas sebuah pesawat penerbangan awam yang memasuki ruang udara larangan di Thurmont, negeri Maryland, Amerika Syarikat (AS) pada pagi Sabtu ketika Presiden AS, Donald Trump berada di Camp David yang terletak berhampiran, lapor Anadolu Ajansi.

Pesawat itu dipintas kira-kira 7.50 pagi waktu tempatan (1150 GMT), menurut kenyataan Tentera Udara Pertama.

Semasa pemintasan, pesawat F-16 itu melepaskan suar yang mungkin dapat dilihat oleh orang ramai di darat. 

Kenyataan itu memaklumkan, suar berkenaan digunakan untuk menarik perhatian juruterbang atau berkomunikasi dengan pesawat terbabit dan tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai di darat.

Pesawat berkenaan kemudian diiring keluar dengan selamat dari kawasan larangan oleh pesawat NORAD, menurut kenyataan itu.

Trump tiba di kediaman percutian presiden di Pergunungan Catoctin, Maryland pada petang Jumaat dan dijangka berada di situ sepanjang hujung minggu.

Kenyataan itu tidak menyatakan bahawa pesawat berkenaan menimbulkan ancaman terhadap Trump atau kediaman percutian presiden itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement