Sebuah pesawat kecil terhempas di sebuah kawasan kediaman di Perbandaran Woodbridge dalam negeri New Jersey, Amerika Syarikat pada Selasa, menyebabkan tiga buah rumah terbakar dan meragut nyawa juruterbangnya, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa.

Pesawat Cessna 414, yang mempunyai enjin berkembar dan lapan tempat duduk, terhempas ke atas sebuah rumah di Colonia, sebuah komuniti yang terletak dalam Perbandaran Woodbridge, pada pukul 11 pagi waktu tempatan, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam satu kenyataan di Twitter.

Juruterbang yang bersendirian dalam pesawat itu, telah terbunuh dalam nahas tersebut, menurut jurucakap Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB).

Datuk Bandar Perbandaran Woodbridge John McCormac memberitahu pemberita bahawa pihak berkuasa percaya bahawa orang awam tidak berada di lokasi kejadian atau mengalami kecederaan akibat nahas itu.

Tiada sesiapa yang berada dalam rumah yang dihempap pesawat malang itu, kata McCormac kepada Xinhua.

Rumah itu terbakar dan musnah sepenuhnya manakala dua lagi rumah berhampiran turut terbakar.

Seorang penghuni berada di dalam sebuah daripada rumah itu namun berjaya menyelamatkan diri dan kebakaran telah dapat dikawal dengan pantas, kata McCormac.

Meskipun datuk bandar tidak dapat menyatakan dengan pasti punca nahas, beliau berkata "cuaca mungkin ada kena-mengena dengan insiden itu."

-- BERNAMA