Keraguan baru mengenai bagaimana pesawat Penerbangan Malaysia MH17 terhempas di Ukraine timbul ekoran laporan bahawa beberapa pesawat tentera telah dikesan di udara sewaktu kejadian itu berlaku.

Menurut laporan saluran berita Rusia RT.com, sebuah syarikat perunding keselamatan udara Rusia telah mendedahkan satu gambar dengan bacaan yang diambil oleh sebuah stesen radar yang terletak berhampiran sempadan Ukraine.

Laporan yang memetik Ketua Pegawai Eksekutif Perunding Keselamatan Penerbangan, Sergey Melnichenko, berkata "terdapat satu atau dua pesawat perang di udara berdekatan dengan pesawat Malaysia itu."

"Data itu jelas menunjukkan bahawa pada masa kemalangan tersebut dan selepas itu, terdapat kapal terbang bergerak ke arah utara perjalanan pesawat tersebut. Kemungkinan besar, itu adalah kapal terbang tentera, kerana tempat itu sangat rapat antara satu sama lain. Kesimpulannya, terdapat satu atau dua pesawat di situ, " kata Melnichenko.

Melnichenko menambah bahawa pesawat tentera itu berada di sebelah kiri MH17 dan terdapat beberapa bukti gambar dari kawasan kejadian itu yang menunjukkan bahagian kiri kokpit MH17 itu rosak, suatu senario yang konsisten dengan kemungkinan ia diserang oleh kapal terbang tentera itu.

Ini juga selari dengan kenyataan oleh Ketua Penyiasat Pendakwa Kebangsaan Belanda, Fred Westerbeke, yang memberitahu majalah mingguan Jerman Der Spiegel pada bulan Oktober. bahawa mereka tidak menolak teori bahawa pesawat lain menembak jatuh MH17.

Dalam kejadian 17 Julai itu, kesemua 298 penumpang di dalam MH17 termasuk 15 anak kapal, telah terbunuh.