DUNIA
Peserta terjunan BASE Australia maut dalam insiden di Itali

Siasatan awal mendapati payung terjun Nowland dipercayai gagal terbuka tepat pada masanya akibat masalah teknikal. - Facebook James Nowland
ROM: Seorang peserta aktiviti sukan ekstrem terjunan BASE warga Australia maut pada Rabu dalam satu insiden di pergunungan Dolomites, Itali, lapor media Australia.
Dalam insiden yang dipercayai akibat kemalangan itu, 7news melaporkan bahawa mangsa, James Nowland, 42, terhempas selepas melakukan terjunan dari puncak landskap berbatu yang popular iaitu Sass Pordoi, yang berhampiran sempadan Tyrol Selatan.
Siasatan awal mendapati payung terjun mangsa yang berasal dari Perth itu dipercayai gagal terbuka tepat pada masanya akibat masalah teknikal. Mangsa dikatakan terhempas 400 meter dari titik pendaratan yang dirancang.
Pasukan paramedik digegaskan ke lokasi kejadian melalui jalan darat dan juga helikopter, namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan nyawanya. Akaun media sosial James Nowland selama ini menjadi tumpuan komuniti peminat terjun BASE kerana perkongsian gambar, video dan pengalamannya melakukan aktiviti itu di pelbagai negara termasuk Switzerland, China, Australia, New Zealand dan Malaysia.
Terjun BASE (akronim bagi empat kategori tapak tetap yang menjadi titik terjunan iaitu Building, Antenna, Span dan Earth) merupakan sukan rekreasi ekstrem yang melibatkan terjunan dari tempat yang tinggi seperti bangunan, antena, jambatan atau tebing gunung, sama ada menggunakan payung terjun atau sut terbang.
Mereka yang menyertai sukan itu perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran khusus, termasuk mengikuti latihan intensif dan profesional, selain sedia melaksanakan teknik pengurusan risiko.
Untuk mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi, peserta terjunan BASE perlu sentiasa berjaga-jaga dan tidak boleh mencuba perkara yang melebihi tahap kemahiran mereka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami