NEW YORK: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menggunakan pentas Sesi Ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Rabu untuk menggariskan pendirian Tehran berhubung perkembangan serantau dan hubungan negara itu dengan Amerika Syarikat (AS).
Pezeshkian menyampaikan ucapan pada hari kedua Debat Umum tahunan Perhimpunan Agung PBB, ketika perhatian antarabangsa tertumpu kepada usaha diplomatik dan ketegangan yang berterusan membabitkan Iran, AS dan Israel.
Sehari sebelum itu, Presiden AS Donald Trump mendedahkan bahawa pegawai Washington telah mengadakan pertemuan dengan wakil Iran di New York selama kira-kira tiga jam, sambil menyifatkan perbincangan tersebut berlangsung dalam suasana yang "sangat baik".
Media rasmi Iran turut mengesahkan pertemuan itu, dengan melaporkan bahawa Menteri Luar Abbas Araghchi bertemu Utusan Khas AS Steve Witkoff dalam satu sesi yang diadakan semasa Perhimpunan Agung PBB berlangsung.
Hubungan antara Tehran dan Washington kekal tegang susulan konflik yang tercetus awal tahun ini, apabila AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran.
Tehran kemudian bertindak balas menerusi serangan peluru berpandu dan dron ke sasaran di rantau itu, selain mengambil langkah yang menjejaskan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, laluan penting perdagangan tenaga global.