Skip to main content
Advertisement

Dunia

Pezeshkian mahu dunia dengar penderitaan rakyat Asia Barat di UNGA

PEZESHKIAN,UNGA -- kredit screenshot IRNA
Pezeshkian berkata, perhimpunan UNGA tidak seharusnya berakhir dengan ucapan dan slogan semata-mata.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian bertegas mahu masyarakat antarabangsa membuka mata terhadap peperangan dan penderitaan rakyat di Asia Barat.

Beliau dijangka membawa isu mengenai serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Tegasnya, Tehran akan menggunakan pentas sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York untuk menyuarakan pendiriannya berhubung serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

“Kami berharap dapat menyampaikan pendirian kami supaya rakyat mengetahui tindakan zalim yang sedang dilakukan oleh pihak-pihak ini (Amerika Syarikat dan Israel) di Asia Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa wawancara bersama agensi berita Iran, IRNA ketika dalam penerbangan ke New York.

Pezeshkian turut berpandangan, perhimpunan UNGA tidak seharusnya berakhir dengan ucapan dan slogan semata-mata.

“Perhimpunan yang mereka dakwa mahu mengembalikan kepercayaan kepada dunia seharusnya mengambil langkah menghentikan peperangan dan pertumpahan darah,” katanya.

Pezeshkian berkata, beliau juga akan membangkitkan nasib kanak-kanak serta kekejaman yang berlaku di rantau berkenaan.

“Kami akan menyuarakan penindasan yang dihadapi anak-anak kami serta kekejaman yang berlaku,” katanya.

Beliau menyifatkan tindakan pihak yang mencetuskan peperangan dan mengorbankan orang awam sebagai bertentangan dengan nilai kemanusiaan.

“Perbuatan mereka langsung tidak boleh dikaitkan dengan sifat kemanusiaan. Manusia tidak akan melakukan perkara-perkara seperti yang sedang mereka lakukan. Keadaan ini amat menyedihkan,” katanya lagi.

Sebelum berlepas, Pezeshkian menegaskan Iran tidak akan tunduk kepada tekanan dan kekerasan.

Beliau mendakwa beberapa perjanjian yang dimeterai sebelum ini telah berulang kali dicabuli Amerika Syarikat.

Menurutnya, keamanan dunia hanya dapat dicapai sekiranya hak setiap manusia dan negara dihormati, bukannya melalui kekerasan untuk memaksa pihak lain tunduk.


 

Must Watch Video

Advertisement