Pihak berkuasa AS lapor kes jangkitan selesema burung H5N5 pada manusia

Selesema burung atau avian influenza, yang sering membawa maut dalam burung dan unggas, telah mencatatkan gelombang terbesar sejak 2022. - Foto AP
WASHINGTON: Seorang individu di Amerika Syarikat (AS) dijangkiti subjenis selesema burung H5N5, menurut pihak berkuasa kesihatan di Negeri Washington pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ringkasan AI
- Seorang individu di Amerika Syarikat dijangkiti subjenis selesema burung H5N5, dikesan pertama kali pada manusia setelah lelaki dari wilayah Grays Harbour dimasukkan ke hospital dengan gejala selesema.
- Pihak berkuasa menegaskan bahawa risiko kepada orang awam adalah "rendah" walaupun kes ini adalah yang pertama dalam tempoh sembilan bulan.
- Selesema burung atau avian influenza, yang sering membawa maut dalam burung dan unggas, telah mencatatkan gelombang terbesar sejak 2022, tetapi kes ini melibatkan virus H5N1 yang patogenik berbanding subjenis H5N5 yang dikesan pada lelaki ini.
Sebelum ini, ia hanya dikesan pada haiwan. Tiada butiran lanjut diberikan.
Namun, pihak berkuasa dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) terus mengklasifikasikan risiko terhadap orang awam sebagai "rendah".
Lelaki warga emas itu mempunyai masalah kesihatan sedia ada dan masih menerima rawatan di hospital, menurut jabatan berkenaan. Beliau memelihara unggas domestik yang mempunyai kontak dengan burung liar.
Menurut laporan media AS, ini adalah kes pertama selesema burung pada manusia dalam tempoh sembilan bulan.
CDC mendokumenkan kes-kes di AS melibatkan individu yang dijangkiti selesema burung. Menurut laman web agensi itu, terdapat 71 kes setakat ini, namun tidak jelas subjenis mana yang terlibat.
Selesema burung atau avian influenza ialah penyakit berjangkit yang sering membawa maut dalam banyak spesies burung dan unggas.
Sejak 2022, gelombang selesema burung terbesar yang pernah direkodkan berlaku di beberapa benua.
Namun, ia melibatkan virus H5N1 yang sangat patogenik. Ia kebanyakannya menjangkiti burung, tetapi turut dikesan pada beberapa mamalia.
Subjenis H5N1 ini juga boleh menjangkiti manusia pada dos jangkitan yang tinggi, meskipun kesnya jarang berlaku.
Institut Robert Koch di Jerman bagi kawalan penyakit sebelum ini menyatakan bahawa tiada kes H5N1 pada manusia dikesan di negara itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


