Pihak berkuasa Myanmar tembak budak Rohingya

Sinar Harian
Jun 29, 2018 00:27 MYT
Anggota keselamatan berkawal berhampiran pagar kawat berduri yang dibina di kawasan sempadan Myanmar yang juga dikenali sebagai 'zero line'. - Foto Sinar Harian
Pengawal sempadan Myanmar didakwa menembak dan mencederakan seorang kanak-kanak lelaki Rohingya yang sedang bermain di jalur tanah tidak bertuan berhampiran sempadan Bangladesh, pada Khamis.
Anasar Ullah, 10, ditembak berhampiran pagar kawat berduri yang dibina Myanmar di kawasan sempadannya yang turut dikenali sebagai 'zero line'.
"Beberapa kanak-kanak sedang bermain berhampiran pagar hari ini apabila sebutir peluru hidup dilepaskan dari pos Polis Pengawal Sempadan Myanmar (BGP) lalu terkena Ansar," kata ketua masyarakat, Dil Mohammad.
Kanak-kanak malang itu mengalami kecederaan di bahagian paha dan dikejarkan ke sebuah hospital yang dikendalikan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) di dalam sebuah kem Rohingya untuk dirawat.
Komander dari Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB), Leftenan Kolonel, Manzurul Hasan Khan berkata, tembakan itu datang dari zon penampan antara sempadan.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan adakah peluru tersebut datang dari pos BGP.
"Kami akan hantar nota bantahan kepada BGP," katanya. - AFP
#Bangladesh #cedera #Kanak-kanak #kawat berduri #Myanmar #Rohingya #sempadan #tembak