Pilihan raya baharu Bangladesh, referandum reformasi negara pada 12 Feb

Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya AMM Nasir Uddin meyakinkan rakyat bahawa pilihan raya akan datang akan berlangsung secara bebas dan adil. - Reuters
DHAKA: Bangladesh akan mengadakan pilihan raya pada 12 Feb tahun depan, pilihan raya nasional pertama sejak kebangkitan rakyat yang menumbangkan bekas perdana menteri Sheikh Hasina, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Satu referendum mengenai pelaksanaan Piagam Nasional Julai, iaitu pelan reformasi negara yang dirangka susulan pergolakan itu, akan diadakan pada hari yang sama, menurut Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya AMM Nasir Uddin.
Piagam itu mencadangkan perubahan perlembagaan secara menyeluruh, termasuk mewujudkan parlimen dua dewan, mengehadkan kuasa eksekutif, mengukuhkan kebebasan badan kehakiman dan pihak berkuasa pilihan raya, serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
Uddin mengumumkan tarikh tersebut dalam siaran televisyen, sambil meyakinkan rakyat bahawa pilihan raya akan datang akan berlangsung secara bebas dan adil.
Beliau turut menyeru parti politik dan bakal calon mematuhi kod etika pilihan raya bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar dan aman.
Lebih 120 juta pengundi layak mengundi.
Pilihan raya terakhir pada 7 Jan 2024 telah diboikot oleh parti pembangkang utama dan menyaksikan kemenangan Liga Awami pimpinan Hasina.
Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang diketuai bekas perdana menteri Khaleda Zia dilihat sebagai pilihan utama untuk memenangi pilihan raya akan datang memandangkan Hasina tidak lagi berada dalam gelanggang politik sejak penyingkirannya pada Ogos tahun lalu.
Zia bagaimanapun sedang menjalani rawatan perubatan di sebuah hospital di Dhaka sejak bulan lalu.
Hasina, yang kini hidup dalam buangan, didapati bersalah atas jenayah terhadap kemanusiaan dan dijatuhi hukuman mati oleh sebuah mahkamah khas di Dhaka pada November kerana penindasan keras terhadap protes tahun lalu yang mengakibatkan kira-kira 1,400 orang terbunuh.
Hampir 900,000 anggota penguat kuasa undang-undang akan dikerahkan di seluruh negara untuk mengawal ketenteraman semasa pilihan raya Februari, menurut suruhanjaya itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


