Proses pengundian pilihan raya Presiden Iran telah ditutup beberapa jam yang lalu dan kini pengiraan undi bermula.

Pusat membuang undi ditutup di seluruh negara itu kira-kira jam 11 malam waktu tempatan (1830GMT) pada Jumaat.

Pada awalnya, Kementerian Dalam Negeri Iran melanjutkan tempoh pengundian buat kali keempat.

Proses pengundian dibuka secara rasminya di seluruh Iran pada jam lapan pagi (0330 GMT) dan pada asalnya dijadualkan berakhir pada jam enam petang (1330 GMT).

Ketua Jawatankuasa Pilihan Raya Tehran, Provincearali Baratlou berkata, jumlah pengundi yang akan keluar mengundi pada Jumaat dijangka mencecah 70 peratus di Wilayah Tehran.

Kira-kira 50.5 juta rakyat Iran termasuk lebih 1.6 juta pengundi baru layak mengundi pada pilihan raya 14 Jun ini bagi memilih presiden ke-11 negara itu serta wakil mereka di bandar dan kampung.

Sementara itu, Presiden Iran Mahmoud Ahmedinejad membuang undi di Tehran ketika negara itu menunaikan tanggung jawab memilih pengganti beliau.

Era Mahmoud selama lapan tahun berakhir selepas peraturan membataskan beliau bertanding untuk penggal ke tiga berturut-turut.

Pihak keselamatan turut bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan protes sebagaimana berlaku pada 2009 yang membantah keputusan pilihan raya.

Pada saingan kali ini enam calon bertanding yang terdiri daripada calon yang berfahaman sederhana dan konservartif.