Pilihan Raya Presiden Portugal ke pusingan penentu, Seguro dahului pusingan pertama

Di bawah Perlembagaan Portugal, Presiden dipilih melalui undian popular secara langsung, dengan calon perlu memenangi lebih 50 peratus undi sah pada pusingan pertama untuk mencapai kemenangan. - Gambar AP
LISBON: Pilihan Raya Presiden Portugal akan menuju ke pusingan kedua selepas tiada calon yang berjaya memperoleh majoriti mutlak dalam pusingan pertama pada Ahad, menurut data yang dikeluarkan oleh Sekretariat Agung Kementerian Pentadbiran Dalam Negeri, lapor Xinhua.
Berdasarkan pengiraan awal, Antonio Jose Seguro daripada Parti Sosialis haluan kiri-tengah mendahului undian dengan 30.6 peratus, diikuti oleh pemimpin parti Chega, Andre Ventura dengan 24.3 peratus.
Joao Cotrim de Figueiredo, calon haluan kanan daripada Inisiatif Liberal, menduduki tempat ketiga dengan 15.5 peratus undi, manakala calon bebas Henrique Gouveia e Melo memperoleh 12.2 peratus.
Berdasarkan 95.7 peratus undi yang telah dikira, Seguro dan Ventura akan melangkah ke pusingan penentu yang dijadualkan pada 8 Feb sebagai calon utama. Pemenang akan ditentukan melalui majoriti mudah.
Di bawah Perlembagaan Portugal, Presiden dipilih melalui undian popular secara langsung, dengan calon perlu memenangi lebih 50 peratus undi sah pada pusingan pertama untuk mencapai kemenangan.
Langkah ke pusingan penentu ini menandakan kali pertama dalam tempoh 40 tahun Pilihan Raya Presiden Portugal memerlukan pusingan kedua antara dua calon utama.
Jawatan Presiden mempunyai tempoh penggal selama lima tahun dan boleh diperbaharui sekali.
Presiden penyandang, Marcelo Rebelo de Sousa akan menamatkan penggal kedua beliau pada 9 Mac apabila Presiden yang baharu dipilih dijadual mengangkat sumpah jawatan.
Walaupun sebahagian besarnya bersifat upacara, jawatan Presiden Portugal memegang kuasa kritikal, termasuk kuasa untuk membubarkan Parlimen dan memveto perundangan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


