Kesemua 93 kerusi akan ditandingi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura 10 Julai nanti selepas berakhirnya proses penamaan calon hari ini.

Ini merupakan kali kedua berturut-turut kesemua kerusi ditandingi dalam PRU negara tersebut.

Seramai 192 calon menghantar borang untuk bertanding di 17 Konstituensi Perwakilan Kumpulan (GRC) dan 14 Konstituensi Wakil Tunggal (SMC).

Parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat atau People's Action Party (PAP) adalah satu-satunya parti yang meletakkan calon di setiap kerusi.

Walaupun suasana hari penamaan calon agak berbeza berbanding PRU sebelum ini disebabkan pandemik COVID-19, elemen 'drama politik' tetap ada.

Antaranya, perubahan kawasan yang ditandingi Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat yang berpindah dari kubu kuat beliau di Tampines untuk mengetuai pasukan PAP yang menjadi calon di East Coast GRC.

Beliau menggantikan bekas Menteri Tenaga Manusia, Lim Swee Say yang sudah mengumumkan persaraan beliau dari politik.

Pasukan Heng akan berdepan cabaran dari pasukan yang dihantar Parti Pekerja atau Workers' Party (WP).

Satu lagi perebutan kerusi yang akan diikuti rapat adalah pertandingan di West Coast GRC dimana pasukan PAP akan berdepan cabaran daripada Parti Kemajuan Singapura atau Progress Singapore Party's (PSP) yang diketuai bekas Ahli Parlimen PAP, Tan Cheng Bock.

Parti PSP merupakan parti pembangkang yang menghantar calon paling ramai alam PRU Singapura kali ini dengan 24 calon.

Ia diikuti WP dengan 21 calon, Parti Demokratik Singapura (SDP) dengan 11 calon dan seterusnya Parti Solidariti Nasional dan Suara Rakyat atau People's Voice, masing-masing menghantar 10 calon.

Ahli PSP, Lee Hsien Yang, adik kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong tidak dicalonkan di mana-mana kerusi walaupun dilihat berkempen secara aktif sebelum ini.

Dengan berakhirnya proses penamaan calon, ini bermakna lebih 2.6 juta pengundi berdaftar Singapura akan mengundi pada 10 Julai nanti.

PRU kali ini merupakan kali keempat Hsien Loong mengetuai PAP sejak beliau menjadi pemimpin parti pada PRU 2006.