BEIJING: China menuduh Amerika Syarikat (AS) menghantar ‘isyarat yang salah’ kepada pihak-pihak yang mendesak kemerdekaan Taiwan selepas keputusan pilihan raya Sabtu lalu.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mengutus ucapan tahniah kepada Presiden terpilih Taiwan, Lai Ching-te dari Parti Progresif Demokratik (DPP) yang menjadi pilihan rakyat negara itu.

Ekoran itu, Beijing menyifatkan mesej berkenaan melanggar komitmen Washington untuk mengekalkan hanya hubungan tidak rasmi dengan Taiwan.

Ching-te telah berikrar untuk melindungi Taiwan daripada China yang semakin agresif.

Beijing melihat Taiwan sebagai wilayahnya dan mencabar mana-mana kerajaan yang berkata sebaliknya.

Mesej tahniah kepada pemimpin baharu Taiwan mencurah-curah dari seluruh dunia selepas pilihan raya, termasuk daripada Blinken - yang menekankan perkongsian antara Taipei dan Washington, yang menurutnya berakar pada nilai demokrasi.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan Dr Lai dan pemimpin semua parti Taiwan untuk memajukan kepentingan dan nilai bersama kami," katanya dalam satu kenyataan.

Blinken juga menegaskan AS yang juga salah satu sekutu terbesar Taiwan: "Komited untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan rentas selat".

Diplomat tertinggi AS itu juga dalam nada sama menegaskan, kerjasama sedemikian seharusnya "melanjutkan hubungan tidak rasmi kami yang telah lama terjalin" dan "selaras dengan dasar US One China."

Di bawah dasar itu, AS mengiktiraf dan mempunyai hubungan rasmi dengan China dan bukannya pulau Taiwan, yang China lihat sebagai wilayah yang memisahkan diri untuk bersatu dengan tanah besar suatu hari nanti.

Kenyataan Blinken itu menerima kritikan dari Beijing yang menyifatkan sebarang kenyataan sokongan kepada Taiwan sebagai memberi pengiktirafan kepada calon dan parti politik yang dilihatnya sebagai sekumpulan pemisah yang berharap untuk menjadikan Taiwan sebuah negara berdaulat yang merdeka.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar China berkata, ucapan tahniah Blinken melanggar janji AS untuk mengekalkan "hanya hubungan budaya, komersial dan lain-lain tidak rasmi" dengan Taiwan.

"China dengan tegas menentang AS mempunyai sebarang bentuk interaksi rasmi dengan Taiwan dan campur tangan dalam hal ehwal Taiwan dalam apa jua cara atau dengan sebarang alasan."

Kenyataan Beijing mungkin akan menjadi amaran kepada Washington selepas ia menghantar delegasi tidak rasmi bekas pegawai AS untuk mengadakan perbincangan dengan tokoh politik terkemuka di Taiwan hanya beberapa jam selepas pulau yang diperintah sendiri itu memilih Ching-te.

Ditugaskan oleh Presiden AS, Joe Biden yang secara peribadi mengalu-alukan keputusan pilihan raya Taiwan, delegasi berkenaan turut disertai bekas penasihat keselamatan negara AS dan bekas timbalan setiausaha negara.

Negara Barat lain, termasuk United Kingdom, Perancis dan Jerman juga mengucapkan tahniah kepada pemimpin baharu Taiwan.

Kerajaan Komunis Beijing membidas parti DPP pimpinan Ching-te yang pro-kedaulatan, yang telah mentadbir Taiwan selama lapan tahun.

Ini kerana China melihat sebarang kenyataan sokongan terhadap DPP sebagai memberi pengiktirafan kepada ahli politik, yang dilihat Beijing sebagai sekumpulan pemisah yang berharap untuk menjadikan
Taiwan sebuah negara berdaulat yang merdeka. - BBC