Presiden Indonesia, Joko Widodo mendesak para pengundi Pilihan Raya Kepala Daerah 2020 (Pilkada)  yang diadakan serentak,  mematuhi protokol kesihatan bagi mengekang penyebaran pandemik COVID-19.

"Walaupun Indonesia berpengalaman dalam mengadakan acara demokrasi besar seperti pemilihan umum dan pemilihan daerah serentak, dalam pemilihan daerah ini, kita menghadapi tantangan baru kerana ia dijalankan ketika wabak COVID-19," tulis Jokowi di akaun Instagram rasminya pada Rabu. 


Jokowi pada masa sama berkata,  selain memastikan pemilihan diadakan secara demokratik, masyarakat juga perlu mematuhi protokol kesihatan seperti memakali pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

 "Kita perlu mematuhi protokol kesihatan untuk keselamatan dan diri kita sendiri. Selamat mengundi. Jangan lupa memakai topeng, menjaga jarak fizikal dan kerap mencuci tangan." tambahnya.



Lebih dari 100 juta pemilih diharap mengundi dalam pemilihan serentak pada hari Rabu, yang dilakukan di 270 wilayah di seluruh Indonesia.


Ratusan calon kini menyimpan harapan untuk mengisi 270 jawatan, termasuk gabenor wilayah, ketua daerah dan datuk bandar, termasuk anak lelaki Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, 33 tahun, mencalonkan diri sebagai datuk bandar Solo di Jawa Tengah.



Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) telah menetapkan protokol kesihatan yang ketat untuk petugas, pengundi dan calon tempat mengundi bagi meminimumkan risiko penularan virus COVID-19.