Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu menafikan dakwaan calon Presiden Nombor 2, Prabowo Subianto bahawa sistem pertahanan negara itu lemah.

Sebaliknya, Ryamizad menegaskan, setiap tahun sistem pertahanan Indonesia semakin kuat dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Sebagai jawapan pada dakwaan (Prabowo), pertahanan Indonesia berada dalam lingkungan 10 terkuat (dunia). Kita tidak lemah,” katanya kepads wartawan pada Jumaat.

Menurut Ryamizard, ketika beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 2014, kekuatan ketenteraan Indonesia berada dalam kedudukan ke-19 di dunia.

Bagaimanapun, selepas lima tahun, angka berkenaan berubah ke kedudukan 10 terbaik di peringkat global.

Mengimbas pengalaman diwawancara dua wartawan Amerika Syarikat tidak lama dulu, Ryamizard diperkenalkan sebagai Menteri Pertahanan yang memiliki kekuatan ketenteraan yang hebat.

Dalam masa sama, beliau berkata, Indonesia kini menuju ke arah negara industri pertahanan yang bakal mengukuhkan ekonomi negara.

Ryamizard berkata, pada masa depan, Indonesia akan meningkatkan usaha mengimport peralatan industri pertahanan.

Jelas beliau lagi, beberapa buah negara juga sudah menyatakan minat untuk membeli peralatan sistem pertahanan Indonesia.

Sebelum ini, dalam debat calon Presiden bertemakan ideologi, pemerintahan, pertahananan dan keamanan, serta hubungan luar negeri, Prabowo mendakwam, Indonesia tidak memiliki kemampuan kewangan untuk mempertahankan kedaulatan wilayah negara itu.

"Pertahanan Indonesia terlalu lemah, jauh dari yang diharapkan kerana kita tidak punya wang," kata Prabowo.