CANBERRA: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, dipindahkan dari kediaman rasmi beliau di Canberra selepas satu ancaman bom diterima susulan siri persembahan kumpulan tarian dan muzik klasik China, Shen Yun, yang dijadual berlangsung di Australia.
Menurut Polis Persekutuan Australia (AFP), ancaman itu diterima melalui e-mel yang mendakwa bahan letupan telah diletakkan di sekitar The Lodge, kediaman rasmi perdana menteri, dan akan diletupkan sekiranya persembahan Shen Yun diteruskan.
Advertisement
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang objek mencurigakan dan pihak polis mengesahkan tiada ancaman terhadap keselamatan awam.
Media tempatan melaporkan e-mel itu dihantar kepada penganjur persembahan Shen Yun, kumpulan yang dikaitkan dengan gerakan Falun Gong dan diharamkan di China.
Ancaman tersebut kemudian disalurkan kepada AFP, menyebabkan tindakan segera diambil bagi memindahkan Albanese sekitar jam 6 petang Selasa.
Albanese, dalam kenyataan pertamanya selepas insiden itu, menyeru rakyat Australia agar bertenang dalam isu melibatkan wacana politik dan mengingatkan bahawa keselamatan tidak boleh diambil mudah.
Beliau turut memuat naik foto anjing peliharaannya dengan kapsyen “Toto berjaga tetapi semuanya baik-baik saja”.
Siasatan lanjut masih diteruskan berhubung ancaman berkenaan, yang turut diklasifikasikan sebagai sebahagian daripada peningkatan insiden amaran keselamatan terhadap ahli politik di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.