DUNIA
PM Israel ‘koyak’ pengumuman Presiden Perancis iktiraf negara Palestin

Netanyahu mengecam keputusan Presiden Macron untuk mengiktiraf kenegaraan Palestin dengan menyifatkan langkah itu sebagai “ganjaran kepada keganasan” dan ancaman keselamatan kepada Israel.
TEL AVIV : Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam keputusan Presiden Perancis, Emmanuel Macron untuk mengiktiraf kenegaraan Palestin dengan menyifatkan langkah itu sebagai “ganjaran kepada keganasan” dan ancaman keselamatan kepada Israel.
“Langkah ini memberi ganjaran kepada keganasan dan berisiko mewujudkan satu lagi proksi Iran, sebagaimana yang berlaku di Gaza,” kata Netanyahu dalam kenyataan rasmi.
“Sebuah negara Palestin dalam keadaan sekarang hanya akan menjadi landasan untuk memusnahkan Israel - bukan untuk hidup bersama secara aman.
“Jelas sekali, Palestin tidak mahukan sebuah negara di sebelah Israel, sebaliknya mahu menggantikan Israel,” tegasnya.Senada dengan Perdana Menterinya, Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar tidak terlepas menyelar kenyataan Macron sebagai tidak masuk akal.
“Keangkuhan Presiden Perancis yang seolah-olah ingin menentukan penyelesaian akhir isu wilayah kami dengan sekadar satu kenyataan adalah sesuatu yang tidak serius dan amat mengelirukan,” katanya.
Sa’ar turut mendakwa, sebuah negara Palestin akan menjadi “negara Hamas” dan menegaskan Macron tidak mampu menjamin keselamatan Israel.
Tidak ketinggalan bersuara ialah Menteri Pertahanan, Israel Katz yang menulis di platform X:
“Daripada berdiri bersama Israel dalam saat genting ini, Presiden Perancis bertindak melemahkan kami.
“Kami tidak akan benarkan penubuhan entiti Palestin yang boleh menjejaskan keselamatan, mengancam kewujudan kami, dan mencabar hak sejarah kami ke atas Tanah Israel.”
Sementara itu, Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich juga mengambil peluang mengkritik dan mengaitkan kenyataan Macron dengan rancangan peluasan kuasa Israel di Tebing Barat.
“Saya ucap terima kasih kepada Presiden Macron kerana memberikan satu lagi sebab yang kukuh untuk Israel menerapkan kedaulatan sepenuhnya ke atas wilayah bersejarah Judea dan Samaria, serta menamatkan sekali gus konsep gagal untuk menubuhkan sebuah negara pengganas Palestin di tengah-tengah Tanah Israel,” katanya, merujuk kepada nama biblikal bagi wilayah yang kini dikenali sebagai Tebing Barat yang diduduki.
Kecaman terhadap Perancis itu dibuat beberapa jam selepas kerajaan Israel meluluskan pemindahan bajet baharu yang besar untuk pelaburan infrastruktur pengangkutan di wilayah Tebing Barat.
Menteri Kewangan Israel, Smotrich berkata, projek tersebut sebagai langkah “pelaksanaan kedaulatan secara de facto” oleh Israel. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami