DUNIA
PM Jepun Ishiba tekad pertahan jawatan walau didesak berundur

Shigeru Ishiba (foto) menegaskan hasrat untuk terus memimpin negara walaupun berdepan tekanan agar meletak jawatan susulan kekalahan besar LDP dalam pilihan raya Dewan Kaunselor. -Gambar fail/Reuters
TOKYO: Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba pada Jumaat menegaskan hasratnya untuk terus memimpin negara itu dalam usaha terbaharu mendapatkan sokongan anggota Parti Demokratik Liberal (LDP), lapor Agensi Berita Kyodo.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, menegaskan hasrat untuk terus memimpin negara walaupun berdepan tekanan agar meletak jawatan susulan kekalahan besar LDP dalam pilihan raya Dewan Kaunselor.
- Ishiba menyatakan komitmen terhadap tanggungjawab kepada negara dan kesediaan bekerjasama dengan pembangkang dalam isu sensitif seperti larangan sumbangan korporat dan pengganti cukai petrol.
- Mesyuarat LDP yang berlangsung lebih empat jam menunjukkan ketegangan dalaman parti, dengan gabungan pemerintah kini bergantung kepada sokongan pembangkang untuk meluluskan undang-undang dan belanjawan di Parlimen.
"Saya ingin mendengar pandangan anda dengan penuh ikhlas dan rendah hati," kata Ishiba pada mesyuarat pleno bersama anggota LDP daripada kedua-dua dewan Parlimen.
Mesyuarat itu disifatkan seperti konvensyen LDP, tempat keputusan isu-isu penting dibuat.
Walaupun ia tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan Ishiba atau mencetuskan pemilihan awal ketua parti, hasil mesyuarat itu berpotensi menguatkan usaha pengkritik untuk memaksa peletakan jawatan beliau.
Ishiba memenangi pemilihan presiden parti pada akhir September lalu, dengan tempoh perkhidmatan selama tiga tahun dan dijadual berakhir pada 2027.
Perdana menteri itu turut menghadiri mesyuarat tidak rasmi bersama anggota parti pada akhir Julai, dengan kebanyakan mereka dilaporkan menggesa beliau bertanggungjawab atas keputusan pilihan raya lalu dan melepaskan jawatan.
Mesyuarat yang dijadual dua jam itu berlarutan sehingga empat jam setengah.
Dengan gabungan pemerintah kini tidak memiliki majoriti di kedua-dua dewan Parlimen, ia terpaksa bergantung kepada sokongan pembangkang bagi mendapatkan kelulusan rang undang-undang dan belanjawan di Diet.
Ishiba menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan parti pembangkang dalam isu-isu sensitif, termasuk larangan sumbangan korporat dan mencari sumber pendapatan baharu bagi menggantikan cukai petrol sementara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami