Skip to main content

Dunia

Ketua WHO yakinkan penduduk Tenerife menjelang ketibaan kapal wabak virus

Director-General of the World Health Organisation, Tedros Adhanom, looks on as officials gather at the port of Granadilla de Abona, where the cruise ship MV Hondius is expected to dock after being affected by a hantavirus outbreak, in Tenerife, Spain, May 9, 2026. REUTERS/Hannah Mckay
Tedros Adhanom memerhati ketika pegawai berkumpul di pelabuhan Granadilla de Abona menjelang ketibaan kapal persiaran MV Hondius susulan wabak hantavirus di Tenerife, Sepanyol. - Foto REUTERS

TENERIFE: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberi jaminan kepada penduduk Tenerife bahawa risiko jangkitan adalah rendah menjelang ketibaan kapal persiaran MV Hondius yang dilaporkan mengalami wabak hantavirus.

Beliau menegaskan situasi itu “bukan seperti COVID-19” dan memaklumkan tiada penumpang yang menunjukkan simptom ketika ini.

Kapal tersebut dijangka tiba di pelabuhan Granadilla awal pagi Ahad, dengan penumpang mula turun sekitar jam 7 GMT.

Setakat ini, enam kes disahkan dalam kalangan penumpang, termasuk seorang daripada tiga individu yang meninggal dunia sepanjang pelayaran dari Amerika Selatan.

Pihak berkuasa Sepanyol telah menjelaskan langkah kawalan ketat bagi memastikan penularan dapat dicegah, termasuk memindahkan penumpang terus ke pesawat repatriasi tanpa berhubung dengan penduduk tempatan.

Hantavirus lazimnya dibawa oleh tikus, namun strain Andes dipercayai boleh menular antara manusia.

Antara simptomnya termasuk demam, keletihan melampau, sakit otot dan sesak nafas.

Tedros turut menegaskan bahawa langkah pemantauan sedang dijalankan di atas kapal oleh pakar WHO bersama pasukan perubatan, dan setakat ini tiada kes baharu dikesan.

Penduduk tempatan sebelum ini menyuarakan kebimbangan, malah terdapat bantahan terhadap keputusan menerima kapal tersebut.

Namun, kerajaan Sepanyol menegaskan tindakan itu dibuat atas dasar kemanusiaan dan keupayaan Tenerife dari segi perubatan.

Selepas operasi pemindahan selesai, kapal itu akan meneruskan perjalanan ke Belanda bagi urusan lanjut termasuk pengendalian mangsa yang meninggal dunia.

Operasi ini dijalankan dengan kawalan ketat termasuk pemakaian pelitup muka serta prosedur pemindahan khas bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara.
 

 

Must Watch Video