ISTANBUL: Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani tiba di ibu negara Arab Saudi, Riyadh pada Rabu dalam rangka lawatan negara dan bertemu pegawai negara itu bagi membincangkan usaha meredakan ketegangan serantau, lapor Anadolu Ajansi.
Sheikh Mohammed bertemu Menteri Luar Arab Saudi Faisal bin Farhan bagi membincangkan hubungan dua hala dan perkembangan terkini serantau serta "usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan dan meningkatkan keselamatan serta kestabilan," menurut Kementerian Luar Qatar dalam satu kenyataan.
Menurut Kementerian Luar Qatar, kedua-dua pihak menegaskan semula "sokongan mereka terhadap usaha menyelesaikan pertikaian menerusi saluran diplomatik."
Mereka turut menyeru supaya usaha serantau dan antarabangsa diselaraskan bagi mengutamakan dialog.
Kedua-dua pihak turut menekankan keperluan melindungi pelayaran maritim di Teluk Arab dan Laut Merah bagi memastikan kelancaran perdagangan serta kestabilan serantau, menurut kementerian itu.
Terdahulu, Sheikh Mohammed yang juga Menteri Luar Qatar disambut Timbalan Menteri Luar Arab Saudi Waleed bin Abdulkarim Al-Khereiji sebaik tiba di Riyadh, menurut kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi.
Kementerian itu tidak memberikan butiran mengenai tempoh lawatan berkenaan.
Lawatan pemimpin Qatar itu berlangsung ketika ketegangan serantau berada pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini susulan konflik berterusan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS). Arab Saudi merupakan sekutu lama AS.
-- BERNAMA-ANADOLU