DUNIA
PM Sepanyol desak Israel digantung daripada sukan antarabangsa

Sanchez turut menyatakan Israel wajar diberi layanan sama seperti Rusia yang dikenakan sekatan selepas pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022.
MADRID: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menggesa Israel dikecualikan daripada menyertai pertandingan sukan antarabangsa susulan tindakannya di Gaza.
“Israel tidak boleh terus menggunakan sebarang platform antarabangsa untuk membersihkan imejnya,” katanya ketika berucap di hadapan anggota Parti Pekerja Sosialis.
Sanchez turut menyatakan Israel wajar diberi layanan sama seperti Rusia yang dikenakan sekatan selepas pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022.
Gesaan itu mencetuskan reaksi balas daripada Menteri Luar Israel, Gideon Saar yang menyifatkan Sanchez sebagai ‘memalukan’ serta menuduhnya mencetuskan protes pro-Palestin di Madrid.Protes berkenaan menyebabkan peringkat akhir perlumbaan basikal Vuelta a Espana yang disertai sebuah pasukan Israel terpaksa dibatalkan.
Sebelum itu, Sanchez menyifatkan demonstrasi sepanjang tiga minggu perlumbaan itu sebagai bukti Sepanyol menjadi contoh yang jelas dalam memperjuangkan isu Gaza.
Menurut angka rasmi, hampir 100,000 orang menyertai protes berkenaan. Beberapa menteri kabinet turut memuji tindakan rakyat turun ke jalanan.
Menteri Transformasi Digital, Oscar Lopez berkata: “Saya lega apabila puluhan ribu orang bangkit menentang pembunuhan beramai-ramai itu. Ia memang satu genosid, tidak ada nama lain.”
Israel menolak tuduhan melakukan genosid di Gaza dan menegaskan tindakannya adalah bentuk mempertahankan diri.
Menteri Kebudayaan, Ernest Urtasun pula menggesa Israel dikecualikan daripada menyertai pertandingan Eurovision akan datang, seiring gesaan Sanchez awal tahun ini.
Stesen penyiar awam Ireland dan Belanda sebelum ini mengumumkan tidak akan mengambil bahagian sekiranya Israel kekal tersenarai, merujuk kepada kehilangan nyawa dan penderitaan rakyat Gaza yang dianggap “parah” dan “menggerunkan.”
Hubungan diplomatik Sepanyol-Israel tegang sejak hujung 2023 selepas Sanchez menzahirkan kebimbangan berhubung kematian orang awam di Gaza.
Beberapa anggota kerajaan ketika itu juga mendesak hubungan diplomatik dengan Tel Aviv diputuskan.
Pada 2024, Sepanyol bersama Norway dan Ireland mengiktiraf negara Palestin.
Minggu lalu, Sanchez menuduh Israel melakukan genosid serta mengumumkan beberapa langkah termasuk embargo senjata.
Israel membalas tuduhan itu dengan menuduh pentadbiran Sanchez bersikap antisemitik dan menggunakan retorik kebencian.
Tinjauan terbaru Institut Elcano mendapati sekurang-kurangnya 82 peratus rakyat Sepanyol percaya genosid sedang berlaku di Gaza.
Sementara itu, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, dua hari selepas pengumuman Sánchez, turut menggesa supaya perjanjian perdagangan bebas dengan Israel digantung.
Beliau menyifatkan keadaan kebuluran di Gaza sebagai “buatan manusia.”
Von der Leyen dalam masa sama mengakui kelemahan Eropah untuk bertindak balas secara efektif terhadap tindakan Israel.
Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berulang kali menafikan kebuluran berlaku di Gaza.
Menurutnya, jika ada kebuluran, ia berpunca daripada kegagalan agensi bantuan antarabangsa dan Hamas.
Israel menuding jari kepada agensi bantuan termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang didakwa gagal mengagihkan ratusan lori bantuan yang terkandas di sempadan Gaza.
Bagaimanapun, pada Ogos lalu, badan pemantau makanan disokong PBB, IPC, mengesahkan kebuluran memang berlaku di beberapa kawasan Gaza. Israel dituduh menjadi punca keadaan itu melalui sekatan berterusan terhadap bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Sebagai kuasa pendudukan yang mengawal semua lintasan sempadan Gaza, Israel bertanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi kehidupan awam, termasuk mengelak kebuluran.
Perang di Gaza tercetus susulan serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan sekitar 1,200 orang, manakala 251 lagi dijadikan tebusan.
Sejak itu, serangan Israel di Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 64,871 nyawa, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami