Skip to main content

Dunia

PM UK, Keir Starmer di bawah tekanan, Parti Buruh kalah teruk dalam pilihan raya

Britain's Prime Minister Keir Starmer arrives for a press conference at Downing Street in London, Britain, April 1, 2026. Frank Augstein/Pool via REUTERS
Keir Starmer menegaskan, beliau tidak akan meletakkan jawatan dan “mencetuskan kekacauan” di negara itu, ketika Parti Buruh berdepan kekalahan besar dalam siri pilihan raya tempatan di England, Scotland dan Wales. - Gambar fail Reuters

LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Sir Keir Starmer menegaskan, beliau tidak akan meletakkan jawatan dan “mencetuskan kekacauan” di negara itu, ketika Parti Buruh berdepan kekalahan besar dalam siri pilihan raya tempatan di England, Scotland dan Wales.

Keputusan berkenaan meningkatkan tekanan terhadap Starmer, dengan beberapa Ahli Parlimen Parti Buruh menggesa beliau menetapkan garis masa untuk berundur, walaupun barisan kabinet masih menyatakan sokongan buat masa ini.

Di Wales, Parti Buruh kehilangan kuasa selepas 27 tahun memerintah, manakala Plaid Cymru muncul sebagai parti terbesar dalam Parlimen terdesentralisasi negara itu. 

Reform UK pula menjadi pembangkang utama.

Di England, Reform UK muncul sebagai pemenang terbesar, meraih lebih 1,400 kerusi majlis tempatan dan mengambil alih kawalan di kawasan yang sebelum ini menjadi kubu kuat Parti Buruh dan Parti Konservatif.

Unjuran bahagian undi nasional BBC (Projected National Share, PNS) — berdasarkan keputusan lebih 1,000 kawasan undi — meletakkan Reform UK sebagai parti terbesar dengan 26 peratus sokongan. 

Parti Hijau berada di tempat kedua dengan 18 peratus, manakala Parti Buruh dan Konservatif terikat di tempat ketiga, masing-masing dengan 17 peratus.

Perkembangan itu dilihat mengesahkan pengakhiran dominasi dua parti utama dalam politik Britain.

Secara keseluruhan, Parti Buruh kehilangan lebih 1,100 kerusi majlis tempatan di England, termasuk di kawasan tradisi sokongannya di utara England dan Midlands, dengan pengiraan undi masih diteruskan.

Di Scotland pula, Parti Nasional Scotland (SNP) dijangka kekal sebagai parti terbesar tetapi gagal memperoleh majoriti mutlak, manakala Parti Buruh Scotland mengakui gagal memenangi sokongan pengundi.

Prestasi lemah itu mencetuskan persoalan berterusan mengenai kepimpinan Starmer, yang semakin memuncak sejak beberapa bulan lalu.

Bagi meredakan tekanan, Starmer menegaskan pendiriannya dalam satu rencana di akhbar The Guardian, dengan menekankan keperluan membina perpaduan dan berpandukan nilai parti.

“Kita perlu mendengar mesej pengundi, tetapi itu tidak bermakna kita condong ke kanan atau kiri. Ia bermaksud menyatukan gerakan politik yang luas dan menjawab tuntutan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kesihatan, Wes Streeting menyatakan sokongan terhadap Starmer dan menegaskan kerajaan perlu memikul tanggungjawab atas keputusan pilihan raya, sambil membuktikan keupayaan Parti Buruh membawa perubahan yang dijanjikan.

Bagaimanapun, setakat Jumaat malam, 22 Ahli Parlimen Parti Buruh dilaporkan secara terbuka menggesa Starmer berundur atau menetapkan jadual keluar, dengan kritikan turut datang dari pelbagai kem dalam parti.

Di Wales, keputusan itu dianggap bersejarah apabila Parti Buruh buat pertama kali dalam lebih 100 tahun tewas dalam undian nasional, malah Ketua Menteri, Eluned Morgan, kehilangan kerusinya dan mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua parti di Wales.

Perhatian kini tertumpu kepada langkah Starmer untuk menetapkan semula hala tuju pentadbiran dalam usaha memulihkan keyakinan parti dan pengundi menjelang fasa politik seterusnya. - Agensi

Must Watch Video