IPOH: Sekurang-kurangnya 10 buah rumah di empat buah kampung di Sungai Siput terjejas dalam kejadian banjir kilat di Sungai Siput awal pagi ini.
Pusat Kawalan Operasi Unit (PKOU) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sungai Siput berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 3.30 pagi
Menurut pusat berkenaan, kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Chenein, Kampung Jong, Kampung Lasah dan Kampung Bawong.
“Jalan di Kampung Chenein dan Kampung Jong ditenggelami air manakala lebih 10 buah rumah di Kampung Lasah ditenggelami air pada paras lutut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagaimanapun, katanya, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini.
Kata kenyataan itu, banjir kilat disebabkan hujan berterusan kira-kira empat jam diikuti hujan renyai.
Kenyataan itu turut memaklumkan, anggota APM Unit Sungai Siput terus membuat pemantauan dan keadaan kini masih terkawal.