Skip to main content

Dunia

FIFA anjur upacara pembukaan berasingan Piala Dunia di Mexico, Kanada dan AS

Soccer Football - FIFA World Cup - Trophy on display in Monterrey - Estadio BBVA, Monterrey, Mexico - March 14, 2026 General view of the World Cup trophy on display REUTERS/Daniel Becerril
FIFA akan menganjurkan upacara pembukaan berasingan menjelang perlawanan pertama di setiap tiga negara tuan rumah bagi Piala Dunia tahun ini, yang berlangsung di Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat. - Gambar Reuters

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan pada Jumaat bahawa ia akan menganjurkan upacara pembukaan berasingan menjelang perlawanan pertama di setiap tiga negara tuan rumah bagi Piala Dunia tahun ini, yang berlangsung di Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat.

Kejohanan Piala Dunia terbesar dalam sejarah itu akan bermula pada 11 Jun di Mexico City, dengan kumpulan pop Mexico pemenang Anugerah Grammy, Maná, bakal membuat persembahan sebagai sebahagian daripada barisan artis yang turut menampilkan Alejandro Fernández dan Belinda, menurut FIFA menerusi satu hantaran di platform X.

Menurut sumber, penyanyi Kanada Alanis Morissette, Michael Bublé dan Alessia Cara, selain DJ berdarah Bangladesh-Amerika, Sanjoy, yang berpengkalan di Los Angeles, akan mengadakan persembahan menjelang perlawanan peringkat kumpulan pertama Kanada menentang Bosnia dan Herzegovina di Toronto pada 12 Jun.

Pada hari sama, penyanyi dan penulis lagu Amerika Syarikat, Katy Perry, bakal menjadi artis utama upacara pembukaan sebelum perlawanan pasukan AS menentang Paraguay di Los Angeles, dengan bintang rap dari Atlanta, Nayvadius Wilburn, atau lebih dikenali sebagai Future, turut dijadual membuat persembahan.

Piala Dunia tahun ini menandakan kali kedua kejohanan bola sepak paling berprestij itu dianjurkan bersama oleh beberapa negara. 

Kali terakhir berlangsung pada tahun 2002, apabila kejohanan berkenaan dianjurkan bersama oleh Korea Selatan dan Jepun, dengan Korea Selatan menjadi tuan rumah upacara pembukaan. - Agensi

Must Watch Video