AMSTERDAM: Polis Belanda menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang disyaki anggota kumpulan jenayah siber ShinyHunters, iaitu kumpulan yang mendakwa berjaya mencuri maklumat sensitif melibatkan kira-kira 38,000 kakitangan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS).
Dalam kenyataan pada Selasa, polis berkata suspek dari Amsterdam itu ditahan pada 15 Sept dan dipercayai terlibat dalam beberapa siri serangan siber berprofil tinggi yang dikaitkan dengan kumpulan berkenaan.
Selain kesalahan jenayah siber, lelaki itu turut disiasat atas dakwaan menghasut cubaan melakukan dua pembunuhan di luar negara.
Pihak berkuasa berkata beberapa peranti elektronik milik suspek telah dirampas dan pemeriksaan terhadap komputer ribanya menemui sejumlah besar maklumat, termasuk butiran berkaitan dua pembunuhan yang dipercayai telah dirancang di luar Belanda.
Suspek kini ditahan reman, manakala polis tidak menolak kemungkinan penahanan lanjut dalam siasatan yang sedang berjalan.
Ketua siasatan jenayah siber Belanda, Stan Duijf, berkata ShinyHunters bertanggungjawab terhadap sejumlah besar mangsa di peringkat domestik dan antarabangsa.
"Kami gembira kerana berjaya menahan seorang suspek dalam siasatan berkaitan kumpulan ini," katanya.
Pengarah FBI, Kash Patel, turut mengalu-alukan tindakan pihak berkuasa Belanda dan memaklumkan pasukan FBI kini bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk menjejaki petunjuk baharu hasil tangkapan tersebut.
Sementara itu, Penolong Pengarah FBI Cyber, Brett Leatherman, memberi amaran kepada anggota kumpulan itu supaya menyerah diri sebelum lebih banyak maklumat diperoleh pihak berkuasa.
ShinyHunters mendakwa telah menceroboh sistem FBI pada 21 Sept dan kemudiannya berkongsi sampel data yang didakwa dicuri dengan beberapa wartawan.
Data yang didakwa dicuri itu dikatakan mengandungi nama, jawatan, nombor lencana serta maklumat peribadi kakitangan FBI termasuk alamat dan nombor telefon.
Kumpulan penggodam antarabangsa yang dipercayai berasal dari Perancis itu sebelum ini dikaitkan dengan beberapa pencerobohan data berprofil tinggi, termasuk terhadap syarikat permainan Rockstar Games dan platform pendidikan Canvas.
ShinyHunters mendakwa ia mengeksploitasi kelemahan dalam sistem storan awan Oracle yang digunakan FBI untuk mengakses beberapa pangkalan data agensi berkenaan.
Bagaimanapun, kumpulan itu mendakwa serangan tersebut bukan bertujuan mendapatkan wang, sebaliknya sebagai bantahan terhadap kenyataan FBI yang menggambarkan mereka sebagai ancaman siber yang menyasarkan syarikat besar dan mencuri jutaan rekod pelanggan.