INTERNATIONAL
Polis Filipina berwaspada sepenuhnya menjelang pilihan raya 12 Mei

Marbil berkata, semua pasukan siap sedia PNP, pasukan tindak balas pantas dan unit serantau akan kekal bersiap sedia dan bertindak balas serta-merta terhadap sebarang kejadian tidak diingini. - Foto Facebook Marbil
MANILA: Polis Negara Filipina (PNP) diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya pada Sabtu bagi memastikan pilihan raya pertengahan penggal pada 12 Mei berlangsung dengan aman, adil dan teratur, lapor Xinhua.
"Kakitangan kami komited untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman sepanjang tempoh pilihan raya," kata Ketua PNP Jeneral Rommel Francisco Marbil, sambil menambah, "Tiada tempat untuk keganasan atau intimidasi dalam proses demokrasi."
Status berjaga-jaga penuh polis bermula pada 12:01 pagi waktu tempatan pada Sabtu dan akan berterusan sehingga 11:59 malam waktu tempatan pada 15 Mei.
Marbil berkata bahawa semua pasukan siap sedia PNP, pasukan tindak balas pantas dan unit serantau akan kekal bersiap sedia dan bertindak balas serta-merta terhadap sebarang kejadian tidak diingini yang mungkin tercetus."Kehadiran polis akan dipertingkatkan di pusat mengundi dan kawasan kritikal lain di kawasan berbeza," tambah Marbil.
PNP melaporkan sekurang-kurangnya 13 kematian berkaitan pilihan raya dan 16 kecederaan dalam 35 insiden di seluruh kepulauan berkaitan pilihan raya nasional dan tempatan tahun ini.
Hampir 70 juta rakyat Filipina akan memilih lebih 18,000 pegawai pada 12 Mei, termasuk 12 senator, 254 wakil daerah, 63 wakil senarai parti, dan lebih 17,000 gabenor, datuk bandar serta pegawai tempatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami