WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) JD Vance pada Isnin berkata Washington telah mencapai kemajuan dalam rundingan dengan Iran, sambil menyatakan bahawa beliau dan Presiden Donald Trump berasa agak yakin mengenai usaha mencapai penyelesaian melalui rundingan, lapor Anadolu Ajansi.
Vance berkata beliau baru sahaja berbincang dengan Trump mengenai perkara itu kira-kira sejam sebelumnya dan kedua-duanya optimis terhadap perkembangan rundingan dengan Iran.
"Kami akan terus berusaha ke arah itu. Pihak Iran sentiasa agak sukar diduga dan seperti yang sering dikatakan Trump, beliau masih mempunyai pilihan untuk melancarkan serangan ketenteraan atau mengambil tindakan bukan ketenteraan.
"Namun, kami sememangnya telah mencapai kemajuan. Kita akan lihat sama ada lebih banyak kemajuan dapat dicapai," katanya kepada pemberita.
Ketika ditanya sama ada Iran diberikan tarikh akhir sebelum serangan disambung semula, Vance berkata Washington tidak menetapkan sebarang tarikh akhir.
"Selepas memusnahkan program nuklear mereka, kami mahu memastikan mereka tidak membangunkan semula atau cuba membangunkan semula program itu. Itulah perkara paling penting bagi AS," katanya.
"Kami percaya terdapat jalan ke arah itu (penyelesaian), namun perkara itu memerlukan komitmen yang teguh dan dapat ditentusahkan bahawa Iran tidak akan membangunkan semula program nuklearnya," katanya.
Kenyataan Vance itu dibuat beberapa jam selepas Trump berkata pada majlis pembukaan semula kolam pantulan Lincoln Memorial Reflecting Pool di Washington bahawa Iran mahu mencapai perjanjian bagi menamatkan konflik yang kini memasuki bulan kesembilan.
"Mereka mahu mencapai perjanjian dan perkara itu mungkin berlaku," kata Trump sambil menambah bahawa Iran telah meminta Washington menghentikan serangan yang menyasarkan pemimpin negara itu, "dan kami akan berbuat demikian."
Ketegangan di Asia Barat kekal tinggi sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, yang mencetuskan serangan balas Iran di seluruh rantau itu.
Walaupun usaha diplomatik diteruskan dan satu memorandum ditandatangani oleh Washington dan Tehran pada Jun, ketegangan masih berlarutan berhubung pengaturan keselamatan dan pelayaran melalui Selat Hormuz.
-- BERNAMA-ANADOLU