Skip to main content

Teknologi

Festival Of Ideas Putrajaya: Aeroshield Halo USIM lindungi perbualan sulit daripada rakaman tanpa kebenaran

Inovasi yang menggunakan teknologi Ultrasonic Fence itu dibangunkan bagi melengkapi fungsi alat pengganggu isyarat atau jammer yang lazimnya digunakan untuk menyekat komunikasi telefon, tetapi tidak menghalang seseorang daripada merakam perbualan menggunakan peranti masing-masing.
Inovasi yang menggunakan teknologi Ultrasonic Fence itu dibangunkan bagi melengkapi fungsi alat pengganggu isyarat atau jammer yang lazimnya digunakan untuk menyekat komunikasi telefon, tetapi tidak menghalang seseorang daripada merakam perbualan menggunakan peranti masing-masing.

Ringkasan AI

  • Penyelidik USIM membangunkan teknologi anti-rakaman AeroShield Halo bagi menghalang kebocoran maklumat sulit melalui rakaman audio tanpa kebenaran.
  • AeroShield Halo menggunakan teknologi Ultrasonic Fence untuk mengganggu fungsi mikrofon peranti rakaman dan telah diuji dalam makmal serta simulasi mesyuarat.
  • Produk kini pada Tahap Kesediaan Teknologi 6 dan memerlukan pensijilan serta dana sebelum boleh dikomersialkan secara meluas.
Advertisement

NILAI: Kebocoran maklumat sulit menerusi rakaman audio tanpa kebenaran, khususnya ketika mesyuarat tertutup dan sesi perbincangan penting, mendorong penyelidik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membangunkan teknologi anti-rakaman dikenali sebagai AeroShield Halo.

Inovasi yang menggunakan teknologi Ultrasonic Fence itu dibangunkan bagi melengkapi fungsi alat pengganggu isyarat atau jammer yang lazimnya digunakan untuk menyekat komunikasi telefon, tetapi tidak menghalang seseorang daripada merakam perbualan menggunakan peranti masing-masing.
 

Image
inovasi usim


Ketua penyelidiknya, Dr Azuan Ahmad, berkata idea pembangunan teknologi itu tercetus selepas pihaknya menerima maklum balas daripada agensi penguatkuasaan mengenai masalah kebocoran audio dalam mesyuarat dan perbincangan sulit.

"Jammer hanya mengganggu isyarat telefon, tetapi ia tidak menghalang rakaman. Walaupun tiada talian, seseorang masih boleh merakam perbualan dan memuat naiknya apabila mendapat sambungan internet semula. 

"AeroShield Halo dibangunkan untuk menangani masalah itu dengan menghalang fungsi mikrofon peranti rakaman dan teknologi ini direka untuk mengganggu keupayaan mikrofon merakam suara dengan jelas, sekali gus mengurangkan risiko maklumat perbualan sulit disebarkan tanpa kebenaran. 

"Pendekatan itu penting memandangkan telefon pintar kini membolehkan sesiapa sahaja membuat rakaman audio tanpa memerlukan perakam suara khusus," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Image
inovasi usim



Azuan yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Sains & Teknologi, USIM itu berkata, ujian makmal yang dijalankan menunjukkan AeroShield Halo mampu beroperasi pada jarak sehingga 17 meter, selain beberapa versi lain dibangunkan untuk ruang lebih kecil dengan liputan sekitar dua dan lima meter, bergantung kepada keperluan penggunaan.

Malah, teknologi itu bukan sahaja melalui ujian makmal, tetapi turut diuji dalam simulasi mesyuarat dan persekitaran lapangan. 

USIM juga katanya sudah memberikan beberapa unit kepada agensi penguatkuasaan untuk dipinjam bagi tujuan pengujian dalam keadaan operasi sebenar.

Mengulas potensi penggunaannya, Azuan berkata agensi penguatkuasaan dikenal pasti sebagai antara kumpulan pengguna utama, khususnya bagi melindungi maklumat dalam mesyuarat sulit dan sesi soal siasat. 

"Sektor korporat turut berpotensi memanfaatkan teknologi itu bagi menjaga kerahsiaan perbincangan perniagaan, pembentangan dan cadangan projek yang mempunyai nilai komersial.

"Bagaimanapun, pembangunan produk tempatan itu masih berdepan cabaran dari segi mendapatkan beberapa komponen dari luar negara serta kos penghasilan, terutama bagi pembuatan kerangka atau 'casing' yang memerlukan proses acuan khusus," ujarnya.

Advertisement
Image
inovasi usim



Dari segi tahap pembangunan, AeroShield Halo kini berada pada Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) 6, iaitu peringkat pengujian dalam persekitaran relevan. 

Azuan memaklumkan, pasukan penyelidik kini menyasarkan pensijilan berkaitan, termasuk ujian oleh SIRIM dan keperluan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebelum produk itu bersedia untuk dikomersialkan.

"Untuk bergerak ke peringkat seterusnya, kami memerlukan dana bagi membiayai proses pensijilan dan pengeluaran secara besar-besaran. Komponen elektronik bukan satu-satunya cabaran kerana kos menghasilkan kerangka produk juga agak tinggi," katanya.

Dalam perkembangan seterusnya, pasukan penyelidik merancang mengintegrasikan teknologi Internet Kebendaan (IoT) bagi membolehkan beberapa unit AeroShield Halo dikawal dan diselaraskan menerusi satu papan pemuka digital, selain meneroka pembangunan keupayaan menghalang rakaman video. 
 

Image
inovasi usim


Menurut Azuan, usaha itu penting bagi menyesuaikan teknologi berkenaan dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang turut berpotensi digunakan untuk memulihkan audio yang terganggu.

Beliau berkata, Festival Idea Putrajaya (FIP) 2026 yang akan berlangsung di Putrajaya pada 17 hingga 19 November ini menyediakan platform penting untuk memperkenalkan hasil penyelidikan universiti kepada pemain industri dan bakal pengguna, sekali gus membuka peluang kerjasama bagi membawa AeroShield Halo ke peringkat pengkomersialan. 

"Inovasi tempatan perlu diketengahkan supaya lebih banyak pihak mengetahui potensi teknologi yang dibangunkan penyelidik negara," katanya.

Advertisement

 

 

Must Watch Video

Advertisement