GURUGRAM: Polis India menahan seorang lelaki warga tempatan kerana disyaki merogol dan menjerut mati seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun sebelum menanam mayat mangsa di sebuah kawasan lapang, di sini, pada Khamis.
Suspek yang dikenali sebagai Shivnath, 25, berasal dari daerah Supaul, Bihar, merupakan jiran kepada keluarga mangsa dan bekerja sebagai pengumpul barang lusuh di sebuah kilang di Sektor 37.
Advertisement
Jurucakap polis Gurugram, Asisten Sub-Inspektor (ASI) Sandeep Kumar memaklumkan bahawa pihak polis menerima laporan kehilangan mangsa dari kampung Mohammadpur Jharsa pada kira-kira jam 12.20 tengah malam Jumaat.
"Berdasarkan aduan keluarga, suspek dipercayai telah memujuk mangsa yang sedang bermain di luar rumah pada petang Khamis untuk mengikutnya ke sebuah kawasan terbiar yang terletak kira-kira empat kilometer dari kediaman mereka," katanya menurut laporan The Tribune India.
Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar menunjukkan suspek membawa mangsa pergi, yang membawa kepada penahanan suspek dalam tempoh sejam selepas laporan difailkan.
Semasa soal siasat, suspek dilaporkan mengaku telah merogol mangsa sebelum menjerut leher kanak-kanak itu sehingga mati bagi menghapuskan bukti, kemudian menanam mayatnya di dalam sebuah lubang cetek.
Mayat mangsa telah ditemui semula oleh pasukan polis pada jam 2 pagi Jumaat di sebuah plot kosong berhampiran kawasan perindustrian Sektor 37.
Kes disiasat di bawah seksyen berkaitan dalam Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS) termasuk bagi kesalahan membunuh dan merogol, serta di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO).