POLIS New York sedang memburu seorang lelaki yang didakwa merogol tiga remaja perempuan di Queens.

Menurut polis, Dwayen Gordon, 41, didakwa telah memberi ubat tidur kepada tiga rakan anaknya berusia 13 tahun, sebelum merogol mereka dalam beberapa insiden berasingan.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa bermalam di rumah Gordon di antara Oktober 2020 dan Mei 2021, lapor portal berita Newsweek.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek untuk tampil ke balai berdekatan.



Menurut data NYPD, kes rogol di bandar berkenaan meningkat sehingga 53 peratus dalam tempoh setahun dari April 2020 hingga April 2021.

Tahun ini sahaja, 444 kes rogol telah dilaporkan di New York.

"Kami akui terdapat banyak kes rogol yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

"Kami menyeru supaya mangsa tampil untuk membuat laporan supaya tindakan dapat diambil," kata jurucakap NYPD kepada New York Post.

Tambahnya, indeks jenayah secara keseluruhan di bandar New York turut meningkat 30 peratus dari bulan April tahun lepas.