Pegawai kanan Gereja Katolik, Kardinal Kevin Farrell dalam satu pengumuman menerusi saluran TV Vatican mengesahkan kematian Pope Francis.
"Pada kira-kira jam 7.35 pagi (Isnin), Pope Francis telah kembali ke PenciptaNya," kata Farrell.
Keadaan kesihatan pemimpin Gereja Katolik dan Kota Vatican itu sebelum ini dilaporkan semakin kritikal selepas mengalami beberapa komplikasi kesihatan termasuk radang paru-paru atau pneumonia.
Beliau dimasukkan ke hospital Gemelli, Rom pada 14 Februari lalu selepas mengalami kesukaran bernafas selama beberapa hari sebelum disahkan menghidap radang paru-paru di kedua-dua belah paru-parunya.
Pope Francis menjadi pemimpin tertinggi Gereja Katolik pada Mac 2013 dan memimpin 1.3 bilion penganut Roman Katolik di seluruh dunia.
Dilahirkan dengan nama Jorge Mario Bergoglio pada 1936 dalam keluarga pendatang Itali di Argentina, beliau merupakan individu pertama dari Amerika Latin yang mengetuai Gereja Katolik.
Walaupun menghadapi beberapa masalah kesihatan, beliau kekal aktif dengan jadual mingguan yang padat dan lawatan ke luar negara secara berkala.
Pada September 2024, beliau telah melengkapkan lawatan ke empat negara di rantau Asia Pasifik, termasuk Singapura, yang merupakan lawatan paling lama sepanjang tempoh perkhidmatannya.
