NEW YORK: Separuh daripada populasi di Gaza kini berdepan kebuluran.

Situasi ini didedahkan pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang melawat wilayah itu minggu lalu.

Menurut Timbalan Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP), keadaan ini berlaku kerana agensi itu tidak lagi mempunyai akses untuk menghantar bekalan bantuan.

"Apabila menyentuh mengenai keselamatan, kami dapat melakukan tinjauan ketika gencatan senjata tujuh hari. Apa yang kami dapati, separuh daripada populasi Gaza kini kebuluran. Realitinya sembilan daripada 10 penduduk yang kami temui, tidak mempunyai makanan yang mencukupi, ada yang tidak makan setiap hari dan tidak tahu bila hidangan mereka seterusnya.

"Sepankang tempoh gencatan senjata tujuh hari, kami mampu menyampaikan bekalan dalam keadaan yang baik. Kami mempunyai trak dan konvoi untuk memasuki kawasan utara. Tetapi keadaan ini tidak lagi sejak pertempuran disambung semula," katanya.

Beliau turut mendesak gencatan senjata kemanusiaan segera dikuatkuasakan.