Skip to main content

Dunia

Populasi warga emas Jepun catat rekod 29.6 peratus, tertinggi antara negara utama

51514272514_ShibuyaTokyo.jpg
Jumlah populasi warga emas itu mencecah rekod seramai 36.24 juta iaitu 15.71 juta lelaki dan 20.54 juta wanita, meningkat sebanyak 20,000 berbanding tahun sebelumnya. - Gambar fail
Advertisement

TOKYO: Penduduk Jepun berusia 65 tahun ke atas mencatatkan rekod sebanyak 29.6 peratus daripada jumlah keseluruhan, menurut anggaran kerajaan pada Ahad, dengan kadar peratusan itu kekal yang tertinggi di kalangan negara yang mempunyai populasi melebihi 40 juta, lapor Kyodo News.

Jumlah populasi warga emas itu mencecah rekod seramai 36.24 juta iaitu 15.71 juta lelaki dan 20.54 juta wanita - meningkat sebanyak 20,000 berbanding tahun sebelumnya, menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi menjelang Sambutan Hari Menghormati Warga Emas di Jepun pada Isnin.

Kementerian itu memaklumkan pada September tahun lalu bahawa peratusan warga emas berada pada tahap 29.4 peratus, yang juga merupakan yang tertinggi di kalangan negara berpopulasi melebihi 40 juta.

Peratusan itu mencapai tahap tertinggi sepanjang zaman buat kali ketiga, sebelumnya pada 2022 dan 2024.

Antara 39 negara dengan populasi 40 juta atau lebih, Jepun diikuti oleh Itali iaitu 25.6 peratus penduduknya berusia 65 tahun atau ke atas, Jerman pada 24.2 peratus dan Perancis pada 22.9 peratus.

Golongan berusia 75 tahun atau ke atas menyumbang sebanyak 17.7 peratus daripada populasi Jepun, iaitu peratusan tertinggi antara sembilan negara utama, diikuti oleh Itali pada 13.3 peratus.

Populasi warga emas Jepun dijangka meningkat kepada 39.45 juta, atau 36.3 peratus daripada jumlah keseluruhan, menjelang 2045 apabila generasi “baby boom” kedua dari 1971-1974 memasuki kategori umur berkenaan, menurut Institut Penyelidikan Kependudukan dan Keselamatan Sosial Kebangsaan.

-- BERNAMA-KYODO

 

Must Watch Video

Advertisement