MIAMI: Thomas Markle, bapa kepada Meghan Markle dan bapa mertua kepada Putera Harry ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) di Florida pada Jumaat selepas didakwa memiliki imej eksploitasi seksual kanak-kanak.
Thomas Markle, 82, berdepan satu pertuduhan memiliki bahan penderaan seksual kanak-kanak dan dijadualkan membuat penampilan pertama di mahkamah di Tampa.
Menurut pihak pendakwaan, beliau didakwa memiliki bahan penderaan seksual kanak-kanak, termasuk gambar yang didakwa memaparkan dirinya bersama kanak-kanak perempuan bawah umur.
Pihak berkuasa menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai amat serius dan akan meneruskan pendakwaan mengikut peruntukan penuh undang-undang persekutuan.
Markle ditahan oleh ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di kediaman persaraan tempat beliau menetap di Lakeland, Florida.
Jabatan Kehakiman AS mendakwa, beliau menyimpan bahan penderaan seksual kanak-kanak, termasuk gambar lucah yang didakwa melibatkan dirinya dan kanak-kanak perempuan yang belum mencapai akil baligh, di dua unit simpanan di kawasan Los Angeles yang disewanya selama hampir 20 tahun.
Dalam operasi penggeledahan itu, pihak berkuasa merampas kira-kira 78 bahan termasuk slaid, negatif filem dan buku yang dipercayai mengandungi kandungan penderaan seksual kanak-kanak.
Jika disabitkan kesalahan, Markle boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Penyiasat turut mendakwa imej serupa ditemui di bekas kediamannya di Filipina serta sebuah unit simpanan yang pernah disewanya di Mexico.
Laporan media sebelum ini menyebut anak lelakinya, Thomas Markle Jr, menemui imej berkenaan ketika memeriksa beberapa kotak yang ditemui di rumah lama bapanya di Filipina.
Markle dilaporkan menetap di Cebu, Filipina sebelum kembali ke Amerika Syarikat awal tahun ini.
Bulan lalu, Meghan Markle menyatakan beliau amat terkesan dengan dakwaan yang dikaitkan dengan bapanya.
Beliau turut memaklumkan telah memutuskan hubungan antara bapanya dengan anak-anaknya susulan beberapa dakwaan lampau yang disifatkan sebagai membimbangkan.
Putera Harry, anak kedua kepada Raja Charles III dan adik kepada pewaris takhta Britain, Putera William berkahwin dengan Meghan, bekas pelakon Amerika Syarikat, di Istana Windsor pada Mei 2018.
Pasangan itu meninggalkan Britain dan melepaskan tugas rasmi diraja pada 2020 sebelum dilaporkan kembali menetap di United Kingdom bersama dua anak mereka pada Ogos lalu. - Agensi