LISBON: Portugal akan mengaktifkan mekanisme pendaftaran sementara tanah luar bandar yang terbiar sebagai milik negara sekiranya pemiliknya tidak dapat dikenal pasti, sebagai sebahagian daripada usaha memastikan penyelenggaraan yang betul dan sebagai pencegahan kebakaran hutan, lapor Xinhua memetik media tempatan, Jornal de Negócios pada Isnin.
Langkah berkenaan menyasarkan plot tanah yang berdaftar dalam pangkalan data hartanah pihak berkuasa cukai tetapi tidak mempunyai pemilik yang boleh dikenal pasti.
Sebaik sahaja didaftarkan, pengurusan tanah itu akan diserahkan kepada Florestgal, sebuah syarikat pengurusan perhutanan milik negara yang beroperasi di 27 majlis perbandaran, yang juga boleh memajak atau memindahkan hak penggunaan tanah kepada pihak ketiga dalam tempoh interim berkenaan.
Pemilik yang sah mempunyai tempoh 15 tahun untuk tampil menuntut semula hartanah mereka sebelum pendaftaran negara itu menjadi kekal.
Prosedur tersebut diwujudkan pada 2019 susulan siri kebakaran hutan yang dahsyat di Portugal, namun tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.
Langkah itu kini menangani cabaran lama dalam pengurusan tanah di Portugal, iaitu sebahagian besar hartanah kecil luar bandar bertukar tangan merentasi generasi melalui warisan, sumbangan, atau jualan yang tidak berdaftar, menyebabkan banyak plot tanah terbiar tanpa pemilik yang boleh dikesan.
Menurut pakar, ketiadaan pemilik tanah yang bertanggungjawab telah lama dikenal pasti sebagai faktor utama dalam penyebaran kebakaran hutan, memandangkan tanah yang tidak dituntut sering kali tidak diurus.
Pemilik hutan dan kumpulan industri sedang menyokong peningkatan hutan komersial yang cepat tumbuh di kawasan belukar terbiar bagi mengurangkan risiko kebakaran serta menggalakkan pembangunan.
Kawasan yang tidak produktif akibat kurangnya kerja-kerja pembersihan sering menjadi tempat bermulanya kebakaran, kata Presiden Lembaga Persekutuan Kebangsaan Persatuan Pemilik Hutan, Luis Damas.
-- BERNAMA-XINHUA