DUNIA
Prabowo hargai penyertaan Indonesia dalam BRICS, tegaskan dasar luar berkecuali

Indonesia dan Rusia perkuat hubungan dua hala dengan menandatangani perjanjian kerjasama dalam pelbagai bidang sempena ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik. - Foto Reuters
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada Jumaat menegaskan pendirian dasar luar negaranya yang berkecuali serta memuji kemasukan pantas Indonesia ke dalam blok BRICS, sambil menggariskan strategi ekonomi bercita-cita tinggi berteraskan keterjaminan makanan dan pertumbuhan inklusif.
Ringkasan AI
- Presiden Prabowo tegaskan dasar berkecuali Indonesia dalam hal ehwal antarabangsa, sambil memuji kemasukan pantas negara itu ke blok BRICS dan menolak spekulasi berkait ketidakhadiran di Sidang G7.
- Beliau gariskan strategi ekonomi berteraskan keselamatan makanan, pertumbuhan inklusif dan pembaharuan struktur, termasuk peningkatan pengeluaran hasil tani, penubuhan dana kekayaan negara Danantara dan kritikan terhadap dasar pasaran bebas lampau.
- Indonesia dan Rusia perkuat hubungan dua hala dengan menandatangani perjanjian kerjasama dalam pelbagai bidang sempena ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik, serta berkongsi pandangan serupa mengenai keamanan dan kedaulatan global.
Indonesia secara rasmi menyertai BRICS pada 6 Jan 2025.
Prabowo menyuarakan sokongan kuat terhadap peralihan kepada sistem dunia multipolar, sambil menyatakan bahawa "era dominasi unipolar telah berlalu" dan memuji peranan Rusia dan China yang "konsisten membela golongan tertindas dan memperjuangkan keadilan."
Beliau turut menepis spekulasi mengenai ketiadaannya dalam Sidang Kemuncak G7 di Kanada, dengan menjelaskan bahawa beliau telah terlebih dahulu komited untuk menghadiri forum di Rusia.
"Itu bukan isyarat politik. Indonesia tetap berkecuali," katanya menerusi siaran langsung yang disiarkan Sekretariat Presiden.
Prabowo turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan global, khususnya di Timur Tengah dan menggesa penyelesaian secara aman.
Beralih kepada dasar domestik, beliau berkata Indonesia berada di landasan kukuh untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mapan dan keupayaan menjamin keselamatan makanan, melalui pendekatan yang menggabungkan inovasi pasaran dengan campur tangan kerajaan.
Beliau mengkritik dasar neo-liberal yang diamalkan selama beberapa dekad, yang menurutnya gagal mewujudkan pembangunan yang adil, dan kini berhasrat mencapai "kesejahteraan maksimum untuk seramai mungkin rakyat."
"Selama 30 tahun lalu, golongan elit Indonesia mengikut ideologi pasaran bebas, tetapi kita gagal mewujudkan padang permainan yang sama rata.
"Kekayaan kekal tertumpu di tangan kurang daripada satu peratus," kata Prabowo.
Sejak memegang jawatan pada Oktober 2024, beliau berkata pengeluaran padi dan jagung telah meningkat 50 peratus, stok beras mencapai rekod 4.4 juta tan dan ekonomi dijangka berkembang hampir tujuh peratus menjelang akhir tahun ini.
Antara pembaharuan utama termasuk pembatalan kawalan selia, langkah antirasuah dan penubuhan Danantara, dana kekayaan negara baharu untuk menarik pelaburan dan melindungi aset negara.
Prabowo turut mengalu-alukan pengukuhan pelaburan Rusia di Indonesia.
Penampilan Prabowo dalam forum itu berlangsung sehari selepas beliau dan Putin menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama baharu dalam bidang pendidikan, pengangkutan, pembangunan digital dan pelaburan, sempena ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Dalam sidang media bersama, kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama merentasi pelbagai sektor dan perkongsian pandangan yang serupa mengenai hal ehwal global.
"Kami menghormati kedaulatan semua negara, mengutamakan penyelesaian damai terhadap semua masalah dan sentiasa memilih kerjasama berbanding konflik," kata Prabowo.
Putin pula menyatakan bahawa kedua-dua negara berkongsi pandangan yang "sangat serupa atau hampir sama" dalam isu antarabangsa, sambil menambah: "Kita mempertahankan kedaulatan, menyokong pembangunan aman di rantau Asia-Pasifik, dan sentiasa berkoordinasi rapat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta forum antarabangsa lain."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami