Skip to main content

Dunia

Prabowo rombak Kabinet Indonesia kali ke-6, Suahasil Nazara dilantik Menteri Kewangan

Prabowo Resmi Lantik Suahasil Nazara Jadi Menkeu
Pelantikan Suahasil pada Isnin sebagai Menteri Kewangan menjadi perkembangan terbaharu dalam enam siri rombakan Kabinet di bawah pentadbiran Prabowo-Gibran yang memegang pentadbiran bermula Oktober 2024. - Foto Detik
Advertisement

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, sekali lagi merombak Kabinet Merah Putih pada Isnin dengan melantik Suahasil Nazara sebagai Menteri Kewangan, menggantikan Purbaya Yudhi Sadewa.

Majlis pelantikan berlangsung di Istana Negara, Jakarta, menjadikan perubahan terbaharu itu sebagai rombakan keenam Kabinet sejak Prabowo menerajui pentadbiran Indonesia pada Oktober 2024.

Pelantikan berkenaan turut menyaksikan Suahasil kembali ke Kementerian Kewangan selepas sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan Indonesia.

Rombakan terbaharu itu melengkapkan siri perubahan dalam pentadbiran Prabowo-Gibran, yang bermula pada 19 Februari 2025 apabila Brian Yuliarto dilantik sebagai Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi bagi menggantikan Satryo Brodjonegoro.

Pada 8 September 2025, Prabowo melakukan rombakan kedua yang membabitkan beberapa jawatan penting, termasuk Kementerian Kewangan yang sebelum itu diterajui Sri Mulyani Indrawati. 

Purbaya kemudiannya dilantik menggantikan Sri Mulyani dalam rombakan berkenaan.

Rombakan ketiga menyusul pada 17 September 2025 bagi mengisi beberapa jawatan yang masih kosong, antaranya Menteri Penyelaras Politik dan Keselamatan serta Menteri Belia dan Sukan.

Pada 8 Oktober 2025, Prabowo meneruskan rombakan keempat dengan melantik beberapa timbalan menteri dan pembantu khas Presiden, selain menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif Percepatan Pembangunan Autonomi Khas Papua.

Sementara itu, rombakan kelima pada 27 April 2026 melibatkan enam jawatan, termasuk Menteri Alam Sekitar merangkap Ketua Badan Pengawalan Alam Sekitar, Ketua Staf Presiden dan Ketua Badan Komunikasi Kerajaan.

Dengan pelantikan Suahasil pada Isnin, perubahan kepimpinan Kementerian Kewangan menjadi perkembangan terbaharu dalam siri rombakan Kabinet di bawah pentadbiran Prabowo-Gibran.

Must Watch Video

Advertisement