MANILA: Presiden Ferdinand "Bongbong" Marcos Jr. mengisytiharkan tarikh 21 April 2023 sebagai hari cuti umum sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Memetik laporan GMA News Online, melalui Proklamasi No. 201, Marcos menyatakan seluruh penduduk di negara itu wajar diberikan peluang sepenuhnya untuk berkumpul bersama saudara-mara Muslim dalam keadaan aman dan harmoni.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan keputusan tertakluk kepada langkah-langkah kesihatan awam yang ditetapkan oleh kerajaan.

Tambah Marcos, keputusan mengisytiharkan 21 April sebagai hari cuti umum adalah untuk mengangkat kepentingan agama dan budaya Hari Raya Aidilfitri ke peringkat kesedaran nasional.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri kebangsaan pertama kali di negara itu berlangsung pada Disember 2002 yang mana disambut dengan solat Raya dan jamuan makan.