Presiden Marcos tolak labelkan Filipina sebagai kawasan tumpuan latihan Daesh

Ferdinand R. Marcos Jr. menegaskan bahawa melabel negara itu sebagai hab pengganas boleh menjejaskan integriti dan imej Filipina. - Bernama
MANILA: Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. mengarahkan Majlis Anti-keganasan (ATC) supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan ancaman keganasan, sambil menolak sekeras-kerasnya dakwaan media asing yang menyifatkan Filipina sebagai kawasan tumpuan latihan Kumpulan Daesh.
Istana Malacanang dalam satu kenyataan pada Rabu melalui Pegawai Akhbar Claire Castro, mengingatkan media asing supaya lebih "bijak dan bertanggungjawab" dalam pelaporan mereka, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Beliau menegaskan bahawa melabel negara itu sebagai hab pengganas boleh menjejaskan integriti dan imej Filipina.
"Sudah tentu, Presiden menolak sekeras-kerasnya kenyataan meluas dan gambaran yang mengelirukan kononnya Filipina merupakan kawasan tumpuan latihan Daesh.
"Presiden mengarahkan ATC dan agensi ahli untuk terus berwaspada bagi menghalang sebarang aktiviti pengganas di dalam wilayah Filipina, selain meningkatkan penyelarasan dengan rakan kongsi antarabangsa bagi memelihara keselamatan negara secara berterusan," kata Castro dalam taklimat akhbar di Istana.
Mengulas mengenai kenyataan Majlis Keselamatan Negara (NSC), Castro berkata tiada laporan sah menunjukkan suspek dalam kejadian tembakan di Pantai Bondi, Australia baru-baru ini menjalani latihan "ala ketenteraan" daripada kumpulan pengganas tempatan di Filipina sebulan sebelum serangan.
Beliau berkata pihak berkuasa Filipina dengan kerjasama rakan antarabangsa terus menentusahkan semua maklumat, namun sehingga kini tiada bukti menunjukkan negara itu digunakan untuk latihan pengganas.
"Sejak pengepungan Marawi pada 2017, pasukan keselamatan Filipina telah berjaya melemahkan kumpulan sekutu Daesh di negara ini secara signifikan," katanya.
Castro turut memetik penilaian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat yang menunjukkan kumpulan berkaitan Daesh di Filipina kini "beroperasi dalam kapasiti yang berpecah-belah dan semakin mengecil."
Menurutnya, keganasan di Mindanao sebahagian besarnya berpunca daripada konflik sejarah dan pertikaian suku tempatan, bukannya disebabkan oleh kapasiti operasi organisasi sekutu Daesh.
"Penilaian semasa menunjukkan peningkatan dalam persekitaran keselamatan tempatan, yang sebelum ini terjejas oleh keganasan. Perkembangan ini menunjukkan usaha berterusan pasukan keselamatan dan daya tahan komuniti kami dalam meningkatkan keamanan, ketenteraman, pembangunan di seluruh negara, kata Castro.
Kejadian tembakan besar-besaran di Pantai Bondi di Sydney mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang dan mencederakan puluhan yang lain semasa sambutan Hanukkah. Polis Australia mengenal pasti suspek sebagai pasangan bapa dan anak, Sajid Akram, 50, dan Naveed Akram, 24.
Laporan sebelum ini mendakwa kedua-dua suspek telah melakukan perjalanan ke Filipina pada November 2025 dan menghabiskan masa hampir sebulan di sana sebelum kembali ke Sydney beberapa minggu sebelum serangan berlaku.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


