KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon yang memilih untuk menyuarakan pandangan di luar saluran rasmi dilihat mencetuskan persoalan dan berpotensi mengundang polemik dalam ekosistem bola sepak tempatan.
Bekas Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata tindakan itu menimbulkan tanda tanya memandangkan Johan bukan individu baharu dalam sistem pentadbiran bola sepak negara.
Advertisement
Beliau berkata saluran rasmi seperti mesyuarat Ahli Lembaga Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Kongres MFL sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya jika benar berhasrat untuk memperbaiki keadaan.
“Apabila memilih untuk bercakap di luar, ia bukan lagi sekadar pandangan profesional, sebaliknya membuka ruang kepada pelbagai persepsi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Mohd Yusoff turut menyifatkan masa kenyataan itu dibuat sebagai janggal dan mengundang spekulasi mengenai kemungkinan wujud kepentingan tertentu.
Dalam pada itu, beliau berkata tindakan mengkritik liga melalui platform luar juga boleh dilihat sebagai usaha memberi tekanan tidak langsung kepada MFL selain membentuk naratif tertentu.
“Ada kecenderungan membina momentum dari luar hingga mengheret pihak lain. Ini bukan lagi teguran biasa. Kesannya, ia berisiko mencetuskan perpecahan dan menjejaskan kestabilan liga,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Yusoff menegaskan sebarang usaha memperbaiki bola sepak negara perlu dilakukan secara profesional melalui saluran sah, bukannya menerusi kenyataan terbuka yang boleh menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penyelesaian.
Baru-baru ini, Johan menggesa supaya perbincangan serius diadakan, termasuk kemungkinan menganjurkan sesi meja bulat membabitkan semua pihak berkepentingan Liga-M, khususnya susulan situasi kewangan yang semakin membimbangkan dalam kalangan kebanyakan pasukan.
Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan FC, Terengganu FC, Penang FC dan Sabah FC antara kelab yang menyokong cadangan mengadakan sesi meja bulat itu.
Antara isu berulang yang menjejaskan Liga-M termasuk kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan oleh beberapa kelab, selain cabaran peningkatan kos operasi yang semakin tinggi dan diburukkan lagi oleh kesan ketegangan berterusan di Asia Barat.
-- BERNAMA