Skip to main content

Malaysia

170 stesen minyak di sempadan jadi fokus pengawasan - Saifuddin

Sumber: Astro AWANI
Saifuddin Nasution berkata, fokus pengawasan akan diberikan kepada stesen minyak tersebut berbanding keseluruhan jumlah stesen minyak yang ada. - Foto/ Astro AWANI

PUTRAJAYA: Hanya sekitar 170 daripada lebih 4,000 stesen minyak di seluruh negara, yang terletak berhampiran kawasan sempadan dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, fokus pengawasan akan diberikan kepada stesen minyak tersebut berbanding keseluruhan jumlah stesen minyak yang ada.

Advertisement

Menurut beliau, strategi penguatkuasaan terhadap isu penyeludupan bahan api perlu dilaksanakan secara lebih berfokus dengan pendekatan “work smart” berasaskan data.

“Kita bukan nak jaga semua 4,000 stesen minyak, tetapi kita akan fokus kepada kira-kira 170 stesen minyak dekat sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Isnin.

Menurut beliau, data jualan daripada Kementerian Kewangan dan KPDN akan digunakan untuk mengenal pasti stesen minyak yang mencatatkan jumlah jualan luar biasa dan tidak munasabah.

“Kalau nilai jualan itu mencanak, tak masuk akal, kita akan zoom in di situ dan tingkatkan pengawasan,” jelasnya.

Beliau menambah, maklumat tersebut mesti dikongsi oleh agensi berkaitan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih berkesan.

“Tugas kita adalah membantu, dan selama konflik Asia Barat ini memberi kesan, kita akan teruskan pengarahan. Jika pengawasan menunjukkan angka penyeludupan berkurangan, kita akan menilai semula penugasan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penugasan tambahan ini akan dilaksanakan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas supaya anggota polis yang ditugaskan memahami skop tanggungjawab mereka.

“Saya serahkan kepada pasukan polis untuk mengatur gerak dan melaksanakan tugasan tambahan ini," katanya.

Must Watch Video