MEXICO CITY: Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador memaklumkan pada Isnin beliau didapati positif COVID-19 buat kali kedua.

Namun jelasnya keadaannya tidak serius dan beliau akan mengasingkan diri sehingga pulih.

Sebelum ini pemimpin berusia 68 tahun itu didapati positif COVID-19 pada Januari tahun lepas.

"Walaupun saya mengalami simptom ringan, saya akan mengasingkan diri dan hanya akan berhubung secara maya," katanya dalam ciapan terbaharu di akaun Twitter miliknya.

Obrador dilaporkan telah menerima suntikan dos penggalak AstraZeneca pada 7 Disember lepas.

Tugasnya akan diganti oleh Menteri Dalam Negeri, Adan Augusto Lopez.

Mexico ketika ini menyaksikan lonjakan kes COVID-19 dengan lebih 30,000 kes baharu dicatat dalam tempoh 24 jam lepas.

BACA: COVID-19: Mexico catat lebih 30,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam

Pada Sabtu negara itu melaporkan sebanyak 30,671 kes, angka tertinggi sejak virus itu mula dikesan di negara berkenaan.