PARIS:Presiden Perancis, Emmanuel Macron didapati positif COVID-19 berdasarkan keputusan satu ujian saringan kesihatan, lapor media negara itu.

Perkara tersebut disahkan Istana Presiden Elysee pada Khamis, yang menambah, pemeriksaan ke atasnya dibuat selepas Macron menunjukkan simptom-simptom awal bagi jangkitan itu.

Beliau kini menjalani kuarantin kendiri dan dalam keadaan stabil, selain dilaporkan masih menjalankan tugasnya dari lokasi kuarantin.

Bagaimanapun, masih belum jelas tentang sebarang usaha menjejak kemungkinan jangkitan. Macron menghadiri Sidang Kesatuan Eropah pada hujung minggu lalu, dan beliau pada Rabu telah bertemu dengan Perdana Menteri Portugal. 

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak Portugal.

Pada pertengahan Oktober lalu, isterinya, Bridgitte Macron juga menjalani kuarantin kendiri selama seminggu selepas tanpa sengaja menjadi kontak rapat kepada seorang yang positif COVID-19.