Skip to main content

Dunia

Presiden Peru, Jose Jeri disingkirkan susulan skandal bertemu ahli perniagaan China

FILE PHOTO: Peruvian President Jose Jeri testifies before a congressional committee to address undisclosed meetings with a Chinese businessman, a case that has intensified scrutiny over his government's transparency and accountability, in Lima, Peru, January 21, 2026. REUTERS/Gerardo Marin/File Photo
Kongres Peru singkirkan Presiden Jose Jeri hanya empat bulan selepas beliau memegang jawatan tersebut, susulan skandal melibatkan beberapa pertemuan rahsia dengan seorang ahli perniagaan China. - Gambar fail Reuters

LIMA: Kongres Peru menyingkirkan Presiden Jose Jeri pada Selasa, hanya empat bulan selepas beliau memegang jawatan tersebut, susulan skandal melibatkan beberapa pertemuan rahsia dengan seorang ahli perniagaan China.

Skandal yang digelar “Chifagate” - nama yang merujuk kepada panggilan tempatan untuk restoran Cina - mencetuskan kontroversi selepas Jeri dirakam tiba di sebuah restoran pada waktu malam dengan memakai hud untuk bertemu seorang ahli perniagaan dari China.

Advertisement

Penyingkiran ini sekali lagi memanjangkan krisis politik yang telah mencengkam negara Andes itu sejak hampir sedekad.

Seramai 75 ahli parlimen mengundi untuk menyingkirkan Jeri sementara 24 lagi membantah, manakala tiga lagi berkecuali. 

Susulan itu, para legislator akan memilih ketua Kongres baharu yang secara automatik akan mengambil alih jawatan Presiden Peru, menjadikannya presiden kelapan negara itu dalam tempoh lapan tahun. 

Jeri merupakan Presiden ketiga berturut‑turut yang disingkirkan dari jawatan.

Rentetan pengguguran ini sekali lagi menunjukkan bagaimana ahli politik Peru gagal menangani kebimbangan rakyat mengenai jenayah dan rasuah, menyebabkan negara terus terperangkap dalam kitaran pentadbiran sementara yang singkat dengan kuasa terhad untuk menangani isu utama - serta sebuah Kongres yang tidak popular, yang kerap mendapat sokongan melalui penyingkiran pemimpin tidak disukai.

Skandal “Chifagate” bermula bulan lalu apabila Jeri dirakam tiba di sebuah restoran pada waktu malam dengan memakai hud untuk bertemu ahli perniagaan China, Zhihua Yang, pemilik beberapa kedai dan konsesi projek tenaga. 

Pertemuan tersebut tidak didedahkan secara rasmi.

Ppresiden pada Oktober lalu selepas Kongres - yang ketika itu turut tidak popular engundi sebulat suara untuk menyingkirkan pendahulunya, Dina Boluarte, setelah parti-parti sayap kanan menarik sokongan berikutan skandal rasuah dan kemarahan rakyat terhadap peningkatan kadar jenayah. 

Tanpa kehadiran Naib Presiden, Jeri, selaku ketua Kongres ketika itu, berada dalam barisan pengganti.

Status interim inilah yang digunakan untuk menyingkirkan beliau pada Selasa. 

Tidak seperti proses pemecatan rasmi yang memerlukan majoriti 87 undi daripada 130 ahli, Kongres memilih untuk mencela Jeri, yang hanya memerlukan majoriti mudah dan secara automatik menggugurkan jawatannya sebagai ketua Kongres.

Jeri menyatakan bahawa beliau akan menghormati keputusan undian tersebut.

Ahli Parlimen Ruth Luque, yang menyokong usul celaan itu berkata, beliau mahu menggantikan Jeri dengan pemimpin yang meletakkan kepentingan awam dan keselamatan sebagai keutamaan, sebelum presiden baharu dipilih.

“Kami mahu mengakhiri penderitaan ini dan benar-benar membentuk transisi yang rakyat harapkan,” katanya. 

“Bukan transisi yang penuh kepentingan tersembunyi, salah guna kuasa, mesyuarat rahsia dan figura berhud. Itu bukan transisi yang kami mahukan.”

Dengan seorang lagi pemimpin interim bakal mengambil alih menjelang pilihan raya 12 April, keadaan politik yang tidak stabil itu berisiko menjejaskan kepercayaan rakyat, ketika ahli politik berebut kedudukan dan mencorakkan imej masing‑masing sebagai calon Presiden.

“Saya tidak nampak sebarang keikhlasan di sini, hanya perkiraan politik,” kata Michael Shifter, Presiden think-tank Inter-American Dialogue di Washington.

 “Cukup ramai Ahli Parlimen merasakan sokongan mereka terhadap Jeri akan merosakkan peluang mereka dalam pilihan raya, jadi mereka bertindak segera.” 

Walaupun Ketua Kongres semasa, Fernando Rospigliosi berada dalam garis penggantian Presiden, beliau, bagaimanapun, menolak untuk memegang jawatan itu.

Sehubungan itu, para legislator perlu memilih Ketua Kongres baharu yang kemudian akan mengisi jawatan Presiden secara automatik.

Rospigliosi berkata, parti-parti mempunyai sehingga jam 6 petang waktu tempatan untuk mengemukakan calon dan Kongres akan mengundi Presiden baharu pada Rabu.

Proses ini mengingatkan kepada cara Francisco Sagasti dilantik sebagai Presiden pada 2020, selepas dipilih oleh Kongres ketika krisis politik dan protes yang menyusul selepas Presiden Manuel Merino meletak jawatan selepas hanya lima hari memegang jawatan.

Bidang calon untuk pilihan raya April juga sangat sesak, dengan puluhan calon dijangka bertanding. 

Menurut tinjauan Ipsos terbaru, sebahagian besar pengundi masih belum membuat keputusan.

Walaupun berdepan kemelut politik berterusan, ekonomi Peru yang banyak bergantung kepada sektor perlombongan kekal kukuh, mencatatkan pertumbuhan 3.4 peratus pada 2025, dengan inflasi rendah pada kadar 1.7 peratus menunjukkan ekonomi negara itu relatifnya terlindung daripada kejutan politik. - Agensi

Must Watch Video