DUNIA
Presiden Poland tuntut Jerman bayar ganti rugi pada ulang tahun Perang Dunia Ke-2

Nawrocki menghadiri upacara memperingati ulang tahun ke-86 pencerobohan Nazi Jerman ke atas Poland, yang berlangsung di Monumen Westerplatte Perang Dunia Kedua di Gdansk, Poland. - Foto REUTERS
BERLIN: Presiden Poland, Karol Nawrocki menggesa Jerman pada Isnin supaya membayar ganti rugi perang atas pencerobohan dan pendudukan negara itu semasa Perang Dunia Kedua, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Berucap di Gdansk sempena upacara tahunan memperingati pencerobohan 1 Sept 1939, buat kali pertama sejak beliau mengangkat sumpah bulan lepas, Nawrocki berkata isu ganti rugi itu perlu diselesaikan bagi memastikan kerjasama dengan Jerman berlandaskan kebenaran serta hubungan baik.
"Sebagai sebuah negara barisan hadapan, sebagai negara paling penting di rusuk timur NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara), Poland memerlukan keadilan, kebenaran dan hubungan jelas dengan Jerman, tetapi ia juga memerlukan ganti rugi daripada negara Jerman," katanya ketika berucap di Tugu Peringatan Perang Westerplatte.
Tuntutan ganti rugi perang daripada Jerman sering dibangkitkan oleh parti pembangkang Undang-Undang dan Keadilan (PiS) Poland yang menyokong kempen pilihan raya Nawrocki yang konservatif.Menurut agensi berita PAP, Nawrocki turut menggesa Kerajaan Poland pimpinan Perdana Menteri daripada kelompok tengah Donald Tusk menyokong tuntutannya untuk ganti rugi itu.
Isu berkenaan sejak kebelakangan ini menjadi duri dalam hubungan Poland-Jerman, dengan Berlin berpendapat perkara itu telah diselesaikan melalui perjanjian yang membawa kepada penyatuan semula Jerman pada 1990.
Tugu Peringatan Perang Westerplatte memperingati lokasi satu daripada pertempuran pertama ketika pencerobohan Nazi Jerman ke atas Poland yang mencetuskan Perang Dunia Kedua.
Sebuah kapal perang Jerman melepaskan tembakan ke arah kota kara tentera Poland di Semenanjung Westerplatte di Pelabuhan Gdansk, yang ketika itu dikenali sebagai Danzig.
Pasukan tentera Poland mempertahankan kota kara itu daripada serangan Jerman yang kekuatan tenteranya yang jauh lebih besar selama tujuh hari.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami