Skip to main content

Berita

Parlimen: Malaysia teliti tiga opsyen peluru berpandu ganti NSM

Kementerian Pertahanan memaklumkan kepada Dewan Rakyat, Malaysia meneliti tiga opsyen peluru berpandu baharu menggantikan NSM susulan sekatan eksport Norway. - Gambar hiasan/Parlimen Malaysia
Kementerian Pertahanan memaklumkan kepada Dewan Rakyat, Malaysia meneliti tiga opsyen peluru berpandu baharu menggantikan NSM susulan sekatan eksport Norway. - Gambar hiasan/Parlimen Malaysia
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia kini pada peringkat akhir meneliti tiga opsyen sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan bagi menggantikan Naval Strike Missile (NSM) susulan pembatalan permit eksport oleh kerajaan Norway.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan, ketiga-tiga opsyen berkenaan dikemukakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dengan pemilihan mengambil kira keperluan operasi, kesesuaian integrasi dengan kapal, kos serta tempoh perolehan.

"Keputusan muktamad akan dibuat setelah opsyen dipersetujui dan perjanjian perolehan dimeterai," menurut MINDEF dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) di Dewan Rakyat semalam.

Advertisement

Ku Abd Rahman bertanya kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai status semasa dan jadual penyerahan lima LCS serta langkah kerajaan mendapatkan sistem peluru berpandu NSM dari negara lain.

Dalam perkembangan berkaitan, MINDEF memberitahu, pembinaan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk TLDM mencapai 80.72 peratus setakat 25 Sept 2026, berbanding sasaran 89.91 peratus, dengan varians kelewatan sebanyak 9.19 peratus.

Advertisement

Menurutnya, jadual penyerahan terkini yang dijamin kontraktor, Lumut Naval Shipyard (LUNAS), menetapkan LCS pertama pada April 2027, diikuti kapal kedua pada Ogos 2027 dan kapal ketiga pada Disember tahun sama.

"LCS keempat pula dijadual diserahkan pada Ogos 2028, manakala kapal kelima pada April 2029.

"Bagi LCS pertama atau KD Maharaja Lela, kapal berkenaan kini berada dalam fasa Ujian Laut di peringkat limbungan (Sea Trial), selepas selesai beberapa Ujian Penerimaan di Limbungan (Harbour Acceptance Trial - HAT)," ujarnya.

Jelas MINDEF, ujian berkenaan merangkumi jentera utama, sistem jana kuasa dan pendorongan bagi menguji serta mengesahkan prestasi dan keupayaan sistem kapal sebelum Ujian Penerimaan di Laut (Sea Acceptance Trial - SAT) dilaksanakan bersama TLDM.

Must Watch Video

Advertisement