PRAGUE: Presiden Republik Czech Milos Zeman dimasukkan semula ke hospital pada Khamis selepas didapati positif COVID-19.

Menurut kenyataan daripada Pejabat Presiden, beliau dimasukkan semula beberapa jam selepas dibenarkan pulang.

Beliau sebelum ini menjalani rawatan selama enam minggu di hospital yang sama akibat penyakit lain.

"Zeman, 77, dibenarkan pulang pada pagi Khamis namun sebuah ambulans dikerah bagi membawa beliau semula ke Hospital Tentera Pusat (UVN) malam tadi selepas didapati positif COVID-19," kata kenyataan itu.

Perkembangan ini bermakna Zeman tidak dapat melantik ketua pembangkang Petr Fiala sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan hari ini, buat sementara waktu.

"Segala program melibatkan Presiden ditangguhkan buat masa ini sementara beliau menerima rawatan COVID-19," tambah kenyataan itu lagi.

Zeman dilaporkan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 serta dos penggalak.

Media tempatan melaporkan beliau tidak menunjukkan sebarang simptom sebelum disahkan positif COVID-19.

Menurut Pengarah UVN, Miroslav Zavarol, ujian COVID-19 dijalankan ke atas Zeman selepas menjadi kontak rapat kepada seorang petugas hospital yang didapati positif virus berkenaan.

Beliau dirawat di hospital sejak 10 Oktober lepas akibat penyakit kronik yang tidak didedahkan Pejabat President namun para doktor menyatakan beliau menghadapi masalah hati.